Thursday, April 11, 2013

31 Peratus PKS Tidak Berdaftar Dan Ketinggalan Menikmati Program Bantuan

PETALING JAYA, 10 April (Bernama) -- Sebanyak 31 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini tidak berdaftar dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan ini menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menikmati pelbagai program dan bantuan yang disediakan oleh agensi itu.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/31-peratus-pks-tidak-daftar-ketinggalan-dapat-bantuan-1.148720
Published: April 11, 2013

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130411/ek_03/Insentif-kepada-syarikat-mendaftar-dengan-SSM
Published: April 11, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=941025
Published: April 11, 2013

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata PKS perlu mendaftar dengan agensi itu supaya perniagaan mereka dapat dikembangkan dan keupayaannya dipertingkatkan.

"Mereka berlesen tetapi tidak berdaftar dengan SME Corp," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jaringan Sinergi Usahawan Wanita 2013 hari ini.

Hafsah berkata SME Corp tidak dapat mengukur prestasi PKS yang tidak berdaftar dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan di samping memudahkan kerajaan untuk menggubal dasar-dasar pembangunan yang berkesan, program sokongan serta penyediaan bantuan teknikal dan kewangan.

Dalam hubungan ini, katanya SME Corp, dengan kerja sama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akan menganjurkan program khas untuk menggalakkan PKS berdaftar dengan agensi itu.

"Kita sedang merangka insentif khas dan berharap ia akan dipertimbangkan kerajaan serta dapat dilaksanakan menjelang 2014," kata Hafsah.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis itu, Hafsah berkata usahawan wanita kini semakin agresif apabila bilangan syarikat milik mereka kini meningkat kepada 19.7 peratus, iaitu sebanyak 127,091 syarikat berbanding 16 peratus (82,911) pada 2006.

Berdasarkan Banci Ekonomi 2011 Jabatan Statistik, katanya 91.7 peratus daripada jumlah itu atau 116,542 terdiri daripada sektor perkhidmatan dan 7.0 peratus (8,896) dalam sektor perkilangan.

"Kita menyasarkan 30 peratus PKS akan dimiliki wanita menjelang 2020," katanya.

Bagaimana pun, bilangan itu juga tidak mencerminkan keadaan sebenar pemilikan syarikat oleh usahawan wanita kerana ramai daripada mereka tidak mendaftarkan perniagaan masing-masing.

Bagi 2013, katanya SME Corp akan menumpukan perhatian kepada sektor peruncitan.

Tiga destinasi yang dipilih adalah Selangor, Sabah dan Johor di mana pemilihan lokasi mengambil kira peratusan penglibatan PKS berdasarkan negeri dan sektor penyumbang terbesar, katanya.

-- BERNAMA

No comments: