KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- SME Bank of Russia memberikan
tumpuan kepada usahawan-usahawan baharu Rusia yang mahu menceburi sektor
inovasi, kata Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Kirill Semenov.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=943199
Published: April 19, 2013
Beliau berkata bank itu, yang mempunyai dana bernilai US$6.5 bilion
serta mendapat sokongan daripada institusi-institusi kredit dan entiti
undang-undang, akan melabur dalam sektor-sektor yang memberi manfaat
kepada ekonomi Rusia.
"Kami bersikap memilih. Kami akan menyalurkan dana-dana itu ke
sektor-sektor yang akan memberikan impak yang baik bagi ekonomi Rusia,"
katanya kepada Bernama pada Khamis.
Kata beliau produk teknologi tinggi semakin banyak muncul di
negeri-negeri dan wilayah, dan ini memberi implikasi penting pada
peringkat persekutuan dari sudut bagaimana dasar-dasar ekonomi dan
pekerjaan dibentuk.
Bulan lepas, bank itu membiayai projek berkaitan pemodenan yang dilaksanakan oleh Russian Mining and Pumping Co.
Semenov berkata bank itu memilih SME Bank Malaysia untuk menjalin
kerjasama kerana kedua-duanya mempunyai sasaran dan objektif yang sama.
Beliau berkata SME Bank Malaysia terkenal sebagai bank pembangunan
untuk membantu usahawan kecil dan sederhana (UKS) memulakan atau
mengembangkan perniagaan mereka.
"Kami nampak objektif SME Bank Malaysia sejajar dengan objektif kami," katanya.
Semenov, bersama dengan lima anggota perwakilan lain dari SME Bank of
Russia, berada di Malaysia bagi lawatan selama tiga hari, berikutan satu
memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua SME
Bank itu pada September tahun lepas.
MoU itu bertujuan menetapkan satu platform bagi kedua-dua pihak untuk
bekerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di
negara masing-masing.
Semenov berkata SME Bank of Russia berharap lawatan itu akan melengkapi
usaha kerjasama kedua-dua pihak dan membuka ruang bagi pertukaran
pendapat yang lebih banyak dan lebih kerap.
SME Bank of Russia ialah ejen bagi Vnesheconombank dalam pelaksanaan Program Membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Lebih 24,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana telah menerima pembiayaan daripada bank itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment