Monday, April 22, 2013

Bantu PKS lebih maju

Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi negara dan sumbangannya tidak boleh dipandang enteng. Namun, istilah PKS itu sendiri ada kalanya menyebabkan banyak pihak salah faham kerana ia membayangkan perniagaan dijalankan secara kecil-kecilan tanpa sebarang penjenamaan atau sistem perniagaan yang betul.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BantuPKSlebihmaju/Article/index_html
Published: April 22, 2013

Menurut kaji selidik yang dijalankan mengenai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) PKS baru-baru ini, 90 peratus daripada PKS di Malaysia tidak menggunakan ICT untuk operasi mereka. Ini merangkumi operasi syarikat masih menggunakan cara tradisional yang lazimnya menggunakan kertas dengan kos lebih tinggi.

70 peratus PKS juga masih tidak mempunyai laman web mereka sendiri dan ini secara tidak langsung membayangkan perkembangan kurang baik untuk PKS apabila kehadiran secara dalam talian penting untuk pertumbuhan jualan mereka. Penggunaan ICT untuk operasi PKS juga penting untuk membantu operasi lebih berkesan khususnya dalam mengawal pelbagai aliran keluar masuk perniagaan sepanjang masa. Kajian dijalankan Bank Dunia di 56 negara termasuk Malaysia mendapati semua syarikat yang menggunapakai ICT menunjukkan pertumbuhan baik dalam operasi secara keseluruhan.

Bergantung kepada jenis perniagaan dijalankan, ada syarikat mencatatkan peningkatan jualan sehingga 80 peratus dan ada syarikat yang mengurangkan kos operasi 50 peratus.

Malah, ada syarikat yang menunjukkan peningkatan dari aspek kepuasan pelanggan dan penghantaran produk kepada pelanggan mereka dengan lebih berkesan.

Di Malaysia, usahawan PKS menjalankan operasi di kawasan bandar menunjukkan penggunaan ICT yang baik, namun apabila dilihat dari lokasi luar bandar, penggunaan ICT bukan sesuatu yang lazim.

Masih banyak syarikat PKS yang tidak mempunyai laman web rasmi sebagai identiti korporat mereka. Antara isu yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah usahawan ini tidak mendapat pendedahan sewajarnya mengenai ICT sedangkan mereka sebenarnya mahu menggunapakai ICT dalam menguruskan syarikat.

Sesi penerangan secara bersemuka perlu dilakukan lebih kerap bagi menyuntik keinginan mereka dalam penggunaan ICT dalam perniagaan.

Sehubungan itu, inisiatif ‘PKS Untuk Pertumbuhan’ yang dijalankan Persatuan Usahawan Tekno Malaysia (TeAM) satu daripada platform untuk usahawan berkongsi pengalaman mereka membina perusahaan berjaya. Seminar itu bermula dengan pemahaman mengenai bagaimana nilai unik perniagaan membantu sesebuah perniagaan berkembang sehingga menjadi jenama terkemuka.

Ia juga antara lain membantu usahawan meningkatkan operasi melalui penggunaan ICT dan bagaimana teknologi Cloud membolehkan usahawan mengawal syarikat mereka pada bila-bila masa di mana saja dengan mudah dan pada kos yang sangat berpatutan.

Usahawan yang berhasrat menggunakan ICT untuk perniagaan mereka tidak perlu bimbang mengenai pelaburan tambahan yang perlu dikeluarkan kerana kerajaan memberikan sokongan kepada PKS dengan menyediakan insentif dan sokongan untuk mereka dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan melancarkan inisiatif Dapatkan Perniagaan Online Malaysia (GMBO) di mana PKS digalakkan membina kehadiran dalam talian mereka selain kedai secara tradisi. Inisiatif GMBO adalah inisiatif geran apabila kerajaan menyediakan geran RM1,000 bagi PKS yang membina laman web mereka sendiri.

Satu lagi geran bagi penggunaan Cloud apabila usahawan digalakkan menggunakan aplikasi berasaskan Cloud untuk menguruskan syarikat mereka seperti perakaunan, gaji atau sumber manusia menggunakan aplikasi berasaskan perkomputeran Cloud.

Penulis Presiden Persatuan Usahawan Tekno Malaysia (TeAM)

No comments: