Thursday, April 25, 2013

Sumbangan PKS Kepada KDNK Dijangka Meningkat Kepada 33 Peratus Tahun Ini

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- SME Corp menjangka sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini untuk tumbuh kepada 33 peratus, melihat kepada momentum pertumbuhannya dan ekonomi negara semasa yang kukuh.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=944749
Published: April 25, 2013

Ketua pegawai eksekutif Datuk Hafsah Hashim berkata ekonomi Malaysia yang kukuh membolehkan sektor itu terus mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi, membuktikan sektor PKS negara tidak boleh dipandang ringan.

"Pada 2011, sumbangan sektor itu kepada KDNK berjumlah 32.5 peratus dan kami sedia mencapai sasaran 40 peratus sumbangan KDNK menjelang 2020 menerusi pelan induk SME," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran awal Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) 2013, yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada Oktober.

Hafsah berkata jika ekonomi tempatan tumbuh pada 5.5 peratus tahun ini, sektor SME boleh tumbuh antara 6.5 peratus dan tujuh peratus.

Mengenai GES, beliau berkata ia adalah satu wadah untuk para usahawan berkongsi pengalaman dan menunjukkan keupayaan mereka dalam melaksanakan perniagaan dan membina jaringan dengan lain-lain usahawan.

Antara topik yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak adalah usahawan wanita, teknologi maklumat dan komunikasi, syarikat permulaan dan industri halal.

-- BERNAMA

No comments: