KUALA LUMPUR 11 April - SIRIM Berhad adalah sebuah institusi penyelidikan lengkap yang dapat membantu usahawan secara total, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi negara ini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130412/ko_02/SIRIM-bantu-usahawan-tingkatkan-ekonomi-negara
Published: April 12, 2013
Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara membangun menjelang 2020 dan rakyat berpendapatan tinggi, yang mana peranan inovasi dan teknologi adalah elemen penting untuk merealisasikannya.
Ketua Pegawai Teknologi, Penyelidikan dan Inovasi Teknologi, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman berkata, penciptaan dan kajian produk yang dibuat ketika ini bertujuan memberi nilai tambah kepada produk sedia ada dan juga mengeluarkan sesebuah produk yang terbaharu.
"Kita dapati banyak produk yang telah sedia ada dalam pasaran adalah kreatif, namun ia kurang berinovasi.., maka di sinilah peranan SIRIM untuk membantu mereka.
"Kita turut memberikan latihan dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan sehinggalah produk dan inovasi usahawan tersebut berjaya dikomersialkan," katanya.
Antara usahawan yang berjaya dibantu, pengusaha kraf seramik dari Sarawak, Florence Skim a/k Sujang yang pernah mempromosi barangannya sehingga ke pusat beli-belah terkenal, Harrods di United Kingdom.
Beliau kini berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan dan berjaya membawa jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Ini menunjukkan inovasi penciptaan yang dilakukan SIRIM mampu menjadi pemangkin kepada usahawan untuk mengeluarkan produk berkualiti, bertaraf global dan seterusnya menjana pendapatan yang tinggi kepada pengusaha," katanya.
Selain itu, SIRIM juga berbangga kerana turut akan berkerjasama dengan syarikat pengeluar kereta tempatan dalam usaha meningkatkan pengunaan teknologi hijau dalam industri automotif menerusi produk bateri litium ion untuk kegunaan kenderaan elektrik ringan.
No comments:
Post a Comment