Dalam tempoh lebih 10 tahun, Persatuan Usahawan Teknologi Malaysia (TeAM) membantu lebih 2,000 usahawan di negara ini membangun dan memasarkan produk serta perkhidmatan masing-masing.
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/articles/TeAMperluascapaianusahawanteknologi/Article
Published: March 18, 2013
Bagi meneruskan momentum pertumbuhan secara berterusan dalam sektor teknologi maklumat (IT), persatuan itu kini menumpukan untuk membantu ahlinya menembusi pasaran serantau.
Ikuti temu bual antara wartawan Bisnes Metro, Helmy Abd Rahman
dengan Presiden TeAM Aziz Ismail, mengenai usaha dan perancangan yang
bakal dilaksanakan tahun ini.
Secara ringkasnya, boleh ceritakan mengenai latar belakang dan misi TeAM?
TeAM diwujudkan bagi meluaskan capaian perniagaan di kalangan
golongan usahawan berkaitan teknologi, sekali gus membantu perkembangan
ekonomi digital di negara ini.
Keahlian TeAM terbahagi kepada
empat jenis iaitu ahli biasa, ahli bersekutu, ahli kehormat dan ahli
pelajar serta terbuka kepada mana-mana individu dan syarikat yang
berdaftar di Malaysia.
Pembabitan TeAM untuk mempercepatkan
pertumbuhan dan pembangunan industri IT di Malaysia menunjukkan hasil
memberangsangkan antaranya menerusi penganjuran bersama Program
Pelaburan Cradle (CIP), pengenalan program usahawan, mengadakan klinik
TeAM dan mengadakan pakatan kerjasama dengan pelbagai agensi.
Pada masa sama, TeAM memainkan peranan aktif dalam usaha membangunkan
industri ICT bagi menyokong inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk
menjadikan Malaysia sebagai pemain utama sektor ICT dan bioteknologi di
rantau ini.
Kami berperanan sebagai pemikir dan suara bagi
usahawan teknologi terutama membabitkan perusahaan kecil dan sederhana
(PKS) di Malaysia; untuk menyediakan landasan dan memudahkan pembangunan
profesional di kalangan ahli dan industri secara amnya; mendidik
komuniti dan menyatukan jurang digital serta membantu pembangunan
berasaskan ekonomi digital di negara ini.
Boleh terangkan mengenai perancangan dan fokus TeAM tahun ini?
Tumpuan
kami untuk tahun ini ialah untuk memasarkan perkhidmatan di negara
serantau terutama Indonesia, Vietnam dan negara berjarak dua hingga tiga
jam perjalanan dari Malaysia.
Fokus kini lebih terarah kepada
aktiviti padanan perniagaan antara pengusaha teknologi dari Malaysia
dengan pemain industri dan pengusaha dari negara disebutkan tadi.
Aktiviti padanan perniagaan ternyata lebih berkesan dan menjimatkan
berbanding menyertai pameran dan kerana itu kami menumpukan usaha
memperbanyakkan aktiviti ini.
Malaysia yang berada jauh di
depan berbanding kebanyakan negara ASEAN dalam bidang IT dan dengan
kelebihan itu, dijangkakan sektor berkenaan mampu berkembang lebih baik
tahun ini.
Selain mendapat bantuan kerajaan dan persatuan dalam
misi dagang ke luar negara, banyak daripada kalangan ahli kami yang
mengambil inisiatif sendiri mengadakan pakatan bagi mengembangkan
perniagaan.
Dengan menjadikan TeAM sebagai landasan, terdapat anggota bergabung membentuk konsortium dan meneroka pasaran luar negara.
Berdasarkan perancangan itu, berapa unjuran yang dijangka mampu diraih?
Kami
menyasarkan perolehan transaksi perniagaan bernilai sekurang-kurangnya
RM500 juta membabitkan urus niaga dalam kalangan ahli TeAM di luar
negara.
Segmen pemasaran perkhidmatan e-kerajaan dijangka memberikan pulangan besar dalam transaksi urus niaga tahun ini.
Sebenarnya transaksi urus niaga berpotensi melangkaui angka RM500
juta, lebih-lebih lagi biasanya kontrak yang diperoleh membabitkan
tempoh panjang, namun kami sengaja tidak meletakkan sasaran terlalu
tinggi.
Selain ICT, apa lagi sektor yang turut dibantu TeAM?
Kami
turut mempunyai ahli di kalangan penggiat industri bioteknologi,
bagaimanapun, jumlahnya tidak seramai mereka yang berkecimpung dalam
ICT.
No comments:
Post a Comment