KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013
yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad ini, menyasarkan
penyertaan 3,000 usahawan bumiputera seluruh negara dalam usaha
memperkukuh jaringan perniagaan antara usahawan tersebut.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931025
Published: March 01, 2013
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kukuhjaringan/Article/index_html
Published: March 01, 2013
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/perhimpunan-usahawan-bumiputera-sasar-3-000-penyertaan-1.135369
Published: March 01, 2013
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Khairy Jamaluddin
berkata perhimpunan yang diadakan buat julung kalinya itu dijangka
dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin depan
dan melibatkan 13 agensi keusahawanan antaranya Mara, SME Bank, Tekun
selain PUNB sendiri.
"Perhimpunan ini merupakan platform terbaik buat usahawan bumiputera
memberikan maklum balas kepada Perdana Menteri (Najib) serta agensi yang
terlibat tentang keberkesanan program pembangunan usahawan, antaranya
dari segi dana dan latihan keusahawanan juga cadangan penambahbaikan
program tersebut.
"Ini juga peluang buat usahawan menambah jaringan dan tidak tertakluk
kepada kumpulan usahawan agensi tertentu sahaja seperti usahawan PUNB
boleh menambah jaringan dengan usahawan Mara dan sebagainya," katanya
pada sidang media di Bukit Kiara di sini Khamis.
Perhimpunan bertemakan 'Bersama Memacu Kejayaan' itu bakal diadakan di
Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini dan bakal menghimpunkan
usahawan bumiputera kecil, sederhana dan besar serta daripada pelbagai
sektor ekonomi di negara ini.
Khairy berkata perhimpunan itu juga bakal menjadi wadah bagi 13 agensi
keusahawanan di negara ini berkongsi 'amalan terbaik' bagi memperkasa
program keusahawanan mereka dan menyelesaikan pelbagai masalah seperti
pinjaman tidak dibayar.
"Bagi memperkasa usahawan ini tiada lagi istilah beroperasi dalam
kepompong sendiri, setiap agensi mesti bekerjasama ke arah satu matlamat
memperkasa usahawan bumiputera kita.
"Ini juga satu platform untuk agensi mengenal pasti usahawan berpotensi
daripada satu agensi untuk diberi bantuan yang lebih besar daripada
agensi lain seperti usahawan berpotensi Tekun boleh melangkah kepada SME
Bank untuk dapatkan pinjaman lebih besar bagi meluaskan perniagaan
mereka," katanya.
Beliau turut mengingatkan usahawan bumiputera supaya tidak beroperasi
di sebalik tembok mereka sendiri dan mudah berpuas hati terhadap
kejayaan yang mereka capai.
"Ini satu penyakit usahawan bumiputera kita, bila dah selesa dengan
tahap perniagaan mereka, terus mahu kekalkan tahap itu tanpa fikir untuk
majukan perniagaan mereka. Mentaliti ini perlu dihapuskan dan usahawan
bumiputera perlu sentiasa mencari peluang memajukan perniagaan mereka,"
katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment