Friday, March 8, 2013

BNM disaran bantu PKS

KUALA LUMPUR 7 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dicadangkan supaya memberi peruntukan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk cagaran harta intelek (IP).

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130308/ek_02/BNM-disaran-bantu-PKS
Published: March 08, 2013

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu dibuat kerana pembiayaan pinjaman seperti itu sudah mula mendapat permintaan daripada PKS.

Menurut beliau, Malaysia Debt Ventures (MDV) yang menyediakan peruntukan pinjaman sebanyak RM200 juta bagi cagaran IP sudah menerima sembilan permohonan, meskipun iklan mengenai pinjaman itu belum dikeluarkan lagi.

"Saya percaya bentuk pinjaman ini akan mendapat permintaan sekiranya BNM memberi kebenaran," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan modul latihan penilaian IP di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Datuk Azizan Mohamad Sidin.

Ismail Sabri mencadangkan peruntukan pinjaman itu dimulakan oleh bank-bank milik kerajaan seperti Bank SME, Bank Simpanan Nasional dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd.

Beliau menjelaskan, buat masa ini institusi kewangan negara belum dapat menerima sepenuhnya pinjaman berdasarkan cagaran IP kerana Malaysia belum ada mekanisme penilaian standard sebagai garis panduan.

Tambahnya, pada masa ini, IP dinilai secara terperinci oleh pengamal IP, penilai kewangan atau firma audit berlandaskan konsep sukarela dalam pembelian dan penjualan oleh penilai asing.

Selain itu, katanya, IP juga masih dianggap sebagai aset berisiko tinggi.

Menyedari hal itu, MyIPO akan merangka modul latihan dan mendapat input daripada pakar luar negara seperti World Trade Institute dan Valuarion Consulting Company yang berpangkalan di Berne, Switzerland dan United Kingdom, tambah beliau.

Jelasnya, untuk pengambilan pertama ini, MyIPO telah memilih 20 orang penilai daripada pelbagai disiplin seperti perundangan, perakaunan, bioteknologi kimia dan perniagaan.

Menurut Ismail Sabri, jumlah penilai itu mencukupi dan akan ditambah mengikut pertambahan permintaan pada masa depan.

No comments: