KUALA LUMPUR 4 Mac - Kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mewujudkan satu polisi kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan supaya keutamaan diberikan kepada produk-produk tempatan yang berkualiti.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130305/ek_02/Polisi-beli-produk-domestik-untuk-GLC
Published: March 05, 2013
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengakui kesedaran terhadap penggunaan produk-produk tempatan tidak sepenuhnya dilaksanakan oleh GLC dan sebahagian agensi-agensi kerajaan.
"Perkara ini sebenarnya telah dibincang dan diketengahkan beberapa kali, namun masih ada GLC dan agensi kerajaan yang tidak mematuhinya.
"Kita sedar masalah ini berlaku akibat sistem dan keyakinan terhadap penggunaan produk asing sejak sekian lama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mendakwa segelintir GLC dan agensi kerajaan tidak membantu usaha memperkasakan produk-produk tempatan.
Kebimbangan itu dikemukakan kerana Malaysia mempunyai produk yang setanding dengan produk luar negara, malah ada yang dieksport tetapi sukar untuk menembusi pemerolehan kerajaan dan GLC.
Nor Mohamed menambah, sudah sampai masanya keutamaan diberikan kepada produk-produk tempatan yang berkualiti supaya pendekatan ini dapat membantu merangsang perkembangan usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan Bumiputera.
"Saya berpendapat kita memang perlu berusaha lebih untuk merealisasikan perkara ini atau memperkenalkan satu polisi.
"Tetapi sebelum melaksanakannya, kita akan cuba selesaikan secara berhemah terlebih dahulu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment