Sunday, March 24, 2013

Sektor baru pacu potensi jualan - SME Corp

SME Corp menyasarkan peningkatan potensi jualan kepada 20 peratus atau RM50 juta tahun ini berbanding RM247.46 juta bagi acara tahunan Pameran Tahunan Perusahaan Kecil Sederhana (Smidex) 2013.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sektor-baru-pacu-potensi-jualan-1.142081
Published: March 24, 2013

Sektor baru pacu potensi jualan
Mohamed Al-Amin bersama Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, 
Datuk Hafsah Hashim ketika majlis pra pelancaran Smidex 2013, kelmarin.

Pengarah SME Corp, Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata, sasaran itu akan dipacu melalui peningkatan penglibatan daripada sektor baru seperti penerbangan, pengangkutan dan minyak serta gas.

Menurutnya, Smidex 2013 akan menyaksikan penglibatan daripada syarikat korporat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Boeing, BAE Systems, Rafael, Giant, Tesco, Aeon, MAS, Sime Darby, Proton, MRT dan Kontena Nasional.

“Kami tidak meletakkan sasaran tinggi untuk tahun ini, namun kami akan mewujudkan beberapa inisiatif baru bagi memastikan angka tersebut boleh dicapai,” katanya pada pra pelancaran Smidex 2013 dan Persidangan Perusahaan Kecil Sederhana Asean-Korea di Kuala Lumpur, kelmarin.

Smidex 2013 memasuki penganjuran kali ke-16 yang mana ia akan dianjurkan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 hingga 14 Jun ini bersama dengan Persidangan Perusahaan Kecil Sederhana Asean-Korea pada 12 hingga 13 Jun.

Mohamed Al-Amin berkata, acara itu akan membawa idea dan kitaran hayat perniagaan yang perlu diketahui oleh sesebuah perusahaan supaya mampu bersaing pada peringkat global.

“Saya sentiasa berharap agar perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan akan sentiasa berdaya tahan dan memastikan kejayaan mereka dalam bidang perniagaan,” katanya.

Smidex merupakan acara tahunan yang direka untuk mempamerkan keupayaan dan kapasiti PKS Malaysia dalam menghasilkan produk, perkhidmatan dan teknologi untuk pasaran global.

Bertepatan dengan tema tahun ini, ‘SMEs Changing The Game’, Smidex 2013 bakal menampilkan satu konsep perniagaan yang mencerminkan pendekatan komprehensif bagi memenuhi keperluan PKS sejajar dengan matlamat dalam Pelan Induk PKS 2012-2020.

Sehingga kini, 260 syarikat mengesahkan penyertaan dengan 40 daripada jumlah itu merupakan syarikat antarabangsa dari Itali, India dan Korea yang akan ditempatkan di Pavilion Antarabangsa.

No comments: