Tuesday, March 12, 2013

Keusahawanan peluang tingkat taraf hidup

KUCHING 11 Mac - Bidang keusahawanan merupakan peluang terbaik untuk masyarakat bumiputera memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130312/wb_05/Keusahawanan-peluang-tingkat-taraf-hidup
Published: March 12, 2013


Joseph Entulu Belaun menyerahkan replika kunci 'Motosikal Demak' 
kepada penerima bantuan 1Azam sambil diperhatikan Wan Junaidi 
Tuanku Jaafar (dua dari kiri) dalam majlis perasmian Taman Halal 
dan KIM Fest Kuching, baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, golongan itu, terutama para belia perlu mencontohi masyarakat bukan bumiputera yang bijak memanfaatkan bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan lumayan.

"Keusahawanan merupakan alternatif terbaik untuk kita dan keluarga masing-masing melangkah ke depan dan memiliki kehidupan yang lebih baik.

"Justeru, anak bumiputera sekarang tidak boleh mengharapkan untuk berkerja dengan kerajaan sahaja, sebaliknya gunakan apa sahaja bentuk bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk menceburi bidang keusahawanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Taman Halal Mara Demak Laut serta KIM Fest Kuching yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad serta Naib Presiden Halal Industry Development Corporation (HDC), Dr. Malik Musharaf.

KIM Fest Kuching yang berlangsung selama tiga hari sejak jumaat lalu berjaya menarik ribuan pengunjung menerusi pameran produk makanan usahawan tempatan selain program sampingan seperti bengkel halal, demonstrasi membuat kek lapis dan laksa Sarawak serta pertandingan memasak.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, industri halal merupakan antara cabang keusahawanan yang perlu diterokai masyarakat bumiputera kerana memiliki potensi amat besar untuk berkembang maju.

Katanya, produk keluaran industri halal bukan sahaja mendapat tempat di negara ini, malah turut mendapat permintaan menggalakkan dari negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), China dan rantau Eropah.

"Berbekalkan sokongan padu kerajaan menerusi pelbagai agensi seperti Mara dan HDC, saya melihat lebih ramai usahawan industri halal akan berjaya menembusi pasaran global pada masa depan jika berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

No comments: