Tuesday, March 19, 2013

PKS Sarawak Masih Belum Manfaatkan Sepenuhnya Insentif Matrade

MIRI, 18 Mac (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana Sarawak (PKS) masih belum memanfaatkan sepenuhnya pelbagai insentif yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membangunkan pasaran eksport mereka.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=935185
Published: March 19, 2013

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan berkata satu insentif yang tersedia bagi PKS di Sarawak ialah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang berjumlah sehingga RM100,000 bagi syarikat untuk membangunkan produk eksport mereka.

"Tahun lepas RM27.68 juta diagihkan di bawah skim ini dan 1,941 syarikat mendapat manfaat daripadanya, bagaimanapun hanya 22 atau 1.13 peratus daripada syarikat ini dari Sarawak," katanya pada majlis Go Global@Matrade, di sini, Isnin.

Beliau berkata Matrade menyediakan geran seumpama itu untuk membantu PKS membiayai kos promosi bagi mengembangkan pasaran luar negara mereka.

Selain itu, katanya, program Misi Belian Akan Datang (IBM) Matrade mengurangkan kos perjalanan luar negara PKS untuk bertemu pembeli.

"Sebagai contoh, bersempena dengan pameran utama seperti MIHAS 2O13 dan INTRADE 2013, Matrade akan menanggung kos membawa pembeli berpotensi dan mengaturkan pertemuan mereka dengan pembekal Malaysia," katanya.

Beliau berkata hanya 336 PKS di Sarawak berdaftar dengan Matrade setakat ini, dan menggesa mereka yang masih belum berbuat demikian untuk mendaftar dengan segera bagi mendapatkan akses langsung kepada maklumat pasaran terkini.

"Tahun ini Matrade akan mengadakan 136 aktiviti penggalakan perdagangan," katanya sambil menambah aktiviti-aktiviti ini tidak akan mencapai tujuannya sekiranya PKS tidak menyertainya dengan aktif.

Beliau berkata China kekal sebagai rakan kongsi dagangan terbesar Malaysia dengan perdagangan meningkat lapan peratus kepada RM180.61 bilion: import naik 21.3 peratus kepada RM91.86 bilion, walaupun eksport turun 3.1 peratus kepada RM88.75 bilion.

Jacob berkata banyak PKS Sarawak masih belum memohon pelbagai insentif yang disediakan disebabkan terutamanya bilangan produk mereka yang terhad bagi pasaran global, sambil menambah Matrade bersedia untuk memberikan latihan kepada PKS yang berhasrat untuk meneroka ke luar negara.

--BERNAMA

No comments: