KUALA TERENGGANU, 14 Jan (Bernama) -- STR Batik Sdn Bhd, pembuat dan
pengedar batik yang berpengkalan di sini, akan memberi perhatian kepada
pembuatan pakaian batik siap untuk mempelbagaikan produk batik
keluarannya.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=921549
Published: January 15, 2013
Pengarah Urusannya, Wan Ruzima Wan Abdullah berkata ini kerana pembuatan
batik terlalu perlahan berikutan persaingan batik tiruan, yang harganya
jauh lebih murah daripada batik tempatan.
"Kita banyak memberi fokus kepada batik pakaian siap kerana ia lebih
mudah dan laris di pasaran berbanding batik," katanya kepada Bernama
hari ini.
Wan Ruzima berkata STR mempunyai sebuah kilang menjahit di nombor C-98
Kampung Chendering, 21080 Kuala Terengganu dan juga bilik pameran di PPA
44, Pasar Besar Kedai Payang dan beribu pejabat di nombor 1113-F, Jalan
Tok Adis, Kuala Ibai 20400 Kuala Terengganu.
Katanya STR sekarang banyak membuat rekaan fesyen terbaharu, terutamanya untuk menarik golongan remaja mencintai batik.
"Hatta pakaian tidur pun kita buat dari batik," katanya, sambil
menyatakan bahawa golongan remaja sekarang lebih gemar dan cenderung
kepada pakaian ala barat daripada pakaian baju kurung atau kebaya.
Pada masa yang sama, katanya pihaknya mencari idea-idea baharu untuk
bersaing di pasaran global dan menganjurkan pertunjukan fesyen.
"Batik boleh dipakai sepanjang masa seperti baju kurung, kebaya dan
lain-lain dan sesuai dalam semua majlis dan keadaan," katanya.
Beliau berkata STR pernah memperagakan pakain batik di London pada 2011
apabila kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)
mengadakan pertunjukan di sana.
Sehubungan itu, Wan Ruzima mencadangkan kerajaan negeri supaya
memberikan sedikit perhatian kepada industri batik bagi memastikan
industri itu terus bernafas pada masa depan.
"Sekarang ini tidak ramai lagi tinggal pengusaha batik di negeri
Terengganu kerana banyak antara pengusaha itu yang sudah gulung tikar,"
katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment