KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Bernama) -- AB Tepoh Trading, satu perusahaan
yang bergiat cergas dalam perniagaan pembekalan puyuh, ayam kampung,
itik dan burung merpati di sekitar daerah ini, akan memperluaskan lagi
perniagaannya dengan memperuntukkan modal RM100,000 bagi tujuan membuka
kawasan ladang ternakan baharu.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=923837
Published: January 24, 2013
Pengurus Besarnya, Abu Bakar Hamzah Ahmad berkata pihaknya masih mencari
tambahan modal tersebut bagi tujuan membina reban dan kandang selain
beberapa kemudahan lain serta pembelian ternakan baharu.
Katanya syarikat itu sudah mempunyai kawasan ternakan baharu, yang
merupakan kawasan padang ragut Bukit Seraya Gemuruh, Manir, berkeluasan
45 hektar, milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.
"JPV mengizinkan kami mengguna pakai kawasan itu...tetapi yang agak
menyukarkan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan asas
seperti bekalan elektrik dan jalan masuk."
"Jadi, kita memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk membangunkan
kawasan tersebut dan kami kini dalam usaha mencari modal
melaksanakannya," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Justeru itu, pihaknya berharap akan mendapat bantuan untuk menyediakan
prasarana infrastruktur memandangkan jarak padang ragut Bukit Seraya
Gemuruh dengan jalan utama adalah lebih kurang 1.5 km, menghala ke
Sungai Tong, Setiu atau jalan ke Kota Bharu, Kelantan.
Pada tahun lepas, AB Tepoh menjual kira-kira 300,000 ekor burung puyuh
dengan kadar harga RM14 sekg dan lebih 5,000 ekor ayam kampung berharga
RM13 sekg, yang dipasarkan di Pasar Tani Padang Hiliran, hotel serta
kedai makan, dan dibeli para peraih sendiri, datang ke tempat
pemprosesan di Kampung Tepoh.
Untuk tahun ini, katanya AB Tepoh Trading yakin perniagaannya mampu
meningkat berbanding tahun lepas memandangkan perniagaannya begitu
stabil dan memberangsangkan sejak awal tahun.
Selain itu, beliau berkata Ab Tepoh Trading juga mempunyai stok 5,000
ekor ayam kampung dan 500 itik untuk dijual pada musim perayaan Tahun
Baru Cina bulan depan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment