Wednesday, January 30, 2013

Kompleks Usahawan Terengganu bernilai RM21j siap tahun ini

KUALA TERENGGANU 28 Jan. - Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dengan kos RM21 juta di Kubang Jela Manir dekat sini dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130129/wt_04/Kompleks-Usahawan-Terengganu-bernilai-RM21j-siap-tahun-ini
Published: January 30, 2013

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, kompleks tiga tingkat di kawasan seluas dua hektar itu akan menjadi pusat sehenti bagi memenuhi keperluan usahawan dengan pengenalan sebagai Pasar Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi dan Kota Batik.

Katanya, KUT antara lain menyediakan ruang niaga, bilik pameran, pusat pengeluaran produk khususnya kraf di samping hotel dan pusat rekreasi keluarga.

"Kompleks ini membawa kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini dengan pelbagai daya tarikan," katanya kepada dalam sidang media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), di sini hari ini.

Menurut Azmi, kewujudannya bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan tersebut dengan kedudukannya yang strategik berhampiran dengan lebuh raya yang sedang disiapkan dan dua institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, sebahagian kompleks ini juga akan turut menempatkan pusat reka bentuk, pusat kraf tangan, pusat kajian produk selain konsep kedai francais dan kedai khusus untuk mengkomersialkan produk tempatan.

Katanya, seramai 70 usahawan dalam pelbagai cabang perniagaan seperti produk kraf, batik, songket, makanan, ICT dan akademi latihan ditempatkan di kompleks berkenaan dan sebilangannya telah memulakan perniagaan di situ sejak pertengahan tahun lalu.

Beliau berkata, YPU menjangkakan keseluruhan pengusaha di situ mampu menjana pendapatan antara RM25 juta hingga RM30 juta setahun apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak.

Beliau menambah, kompleks itu turut menempatkan sebuah hotel bertaraf tiga bintang dengan kapasiti 86 bilik.

"Hotel ini mampu membantu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di negeri ini serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat" katanya.

Azmi berkata, KUT juga bakal dilengkapi dengan kemudahan pusat rekreasi keluarga dengan menyediakan pusat boling, gelanggang futsal, kompleks panggung wayang dan makanan yang sedang dalam pembinaan melibatkan kos kira-kira RM20 juta.

No comments: