KUANTAN 20 Jan. - Pengeluar produk minyak pelincir Bumiputera, Performance Nasional (Prenas) menyasarkan pendapatan sebanyak RM2 juta sebulan hasil jualan 12 produk keluarannya di 90 koperasi Felda di Pantai Timur tahun ini.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130121/ko_02/Prenas-pasar-minyak-pelincir-di-Felda
Published: January 21, 2013
Mohd. Nazrul Arsad (kiri) menunjukkan minyak pelincir keluaran
Performance Nasional kepada Maznah Mazlan di Kuantan, semalam.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Nazrul Arsad berkata, sasaran itu adalah realistik memandangkan syarikatnya menawarkan minyak pelincir berkualiti pada harga berpatutan.
Tambahnya, antara produk yang dipasarkan adalah minyak pelincir sintetik, semi-sintetik, mineral selain minyak hidraulik, minyak gear dan penyejuk radiator.
"Kesemua produk itu bukan saja berkualiti tinggi seperti jenama terkenal lain, tapi turut dijual pada harga jauh lebih berpatutan. Produk kami sudah memasuki pasaran sejak dua bulan lalu, namun belum dilancarkan secara rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian produk tersebut untuk pasaran Pantai Timur oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.
Katanya, buat masa sekarang, pihaknya melantik 90 pengedar rasmi dalam kalangan pengendali koperasi Felda di Pantai Timur.
"Pihak kami menjangkakan kira-kira 250 koperasi di seluruh negara terutamanya koperasi di bawah Felda yang akan menjadi pengedar produk Prenas menjelang hujung tahun ini," katanya.
Menurut beliau, koperasi yang menjadi pengedar barangan itu bakal menerima margin keuntungan tinggi jika dibandingkan menjual minyak pelincir jenama lain.
"Konsep pembahagian keuntungan dipersetujui bersama dan mereka akan menerima pendapatan antara 25 hingga 30 peratus hasil jualan produk kami. Ini boleh menjadikan koperasi terbabit menjana keuntungan tinggi dan akhirnya mengagihkan dividen lumayan kepada ahlinya," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua tahun bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk berkenaan dengan kerjasama pakar dari dalam dan luar negara serta memenuhi piawaian ditetapkan agensi antarabangsa serta SIRIM.
No comments:
Post a Comment