KOTA BAHARU, 9 Jan (Bernama) -- Usahawan Industri Kecil dan Sederhana
(IKS) Kelantan akan memanfaatkan penyertaan mereka pada Ekspo Halal 2013
di Hatyai, Thailand mulai Jumaat ini untuk mengenal pasti potensi bagi
memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920526
Published: January 10, 2013
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/10-usahawan-iks-kelantan-sertai-ekspo-halal-di-songkhla-1.119581
Published: January 10, 2013
Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
cawangan Kelantan Azran Deraman berkata 10 usahawan itu terdiri daripada
anggota Koperasi Groom Big.
Ekspo tiga hari bermula Jumaat di Universiti Prince Of Songkhla,
dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka menembusi pasaran
antarabangsa, katanya.
"Inilah platform terbaik usahawan IKS itu untuk memasarkan produk
mereka memandangkan produk IKS Kelantan, khususnya makanan halal,
sememangnya menjadi kekuatan dan mendapat tempat dalam pasaran Selatan
Thailand," katanya kepada pemberita selepas bertemu usahawan berkenaan,
di sini hari ini.
Beliau berkata MITI akan menggunakan kesempatan itu untuk memasarkan
produk, terutama kepada masyarakat Islam, yang sangat menggemari produk
halal dari Malaysia.
"Di Selatan Thailand sahaja terdapat 6.3 juta penduduk, dan peluang
memasarkan produk di sana perlu digunakan sebaiknya oleh
usahawan-usahawan ini," katanya.
Azran berkata MITI akan terus menyokong usahawan terbabit dan membantu mereka mengembangkan produk masing-masing.
Beliau berkata selain itu MITI berharap usahawan berkenaan dapat
menggunakan ekspo itu untuk menimba pengalaman bagi menambah baik produk
keluaran mereka.
MITI juga berharap ekspo yang sama dapat dianjurkan di Kelantan pada
masa hadapan untuk tujuan yang sama, selain dapat mengeratkan hubungan
usahawan IKS di kedua-dua negara.
Ekspo di Hatyai itu dianjurkan Kesatuan Koperasi-koperasi Islam Selatan Thailand. - Bernama
No comments:
Post a Comment