Tuesday, January 22, 2013

MH Mohd Industries Teroka Produk Kopi Baharu, Harap Kenaikan Pendapatan 20 Peratus

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pengeluar sos dari Kelantan, MH Mohd Industries Sdn Bhd, meneroka pembuatan produk kopi baharu dan berharap pempelbagaian itu akan membantu meningkatkan pendapatan syarikat sekurang-kurangnya 20 peratus tahun ini kepada lebih RM2.4 juta.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=923161
Published: January 22, 2013

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhamad Yussof berkata beliau yakin campuran kopi tiga dalam satu "tunjuk langit dan gano baharunya di bawah jenama "MH Mohd" akan menjana pendapatan baharu bagi syarikat tersebut.

"Kami mempunyai rancangan jangka panjang untuk memasarkan kopi kami di pasar raya dan pasar raya besar. Bagaimanapun ini agak mencabar kerana peruncit mahukan rekod prestasi produk yang berjaya.

"Kami percaya kami boleh mencapai matlamat jangka panjang kami dengan bekerja lebih keras lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad berkata kopi MH Mohd ketika ini diedarkan menerusi pengedar di Kelantan dan syarikat itu mengambil tempahan menerusi surat dan menghantar menerusi perkhidmatan kurier.

Kopi MH Mohd dikilangkan secara kontrak oleh Technology Park Malaysia (TPM) Biotech Sdn Bhd di pusat bioteknologinya di Raub.

Sebelum menggunakan perkhidmatan TPM Biotech tahun lepas, syarikat itu melabur lebih RM10,000 dalam penyelidikan dan pembangunan produk, kaji selidik pemasaran dan terlibat secara peribadi dalam pengujian produk.

Tahun lepas, MH Mohd mencatatkan pertumbuhan tahunan 10 hingga 20 peratus dan menjana jualan kira-kira RM2 juta.

Tahun ini ia berharap dapat mengekalkan kadar pertumbuhannya dan menyasar menambah baik produk sos sedia adanya.

-- BERNAMA

No comments: