Saturday, January 26, 2013

Sasar lebih ramai usahawan

NUSAJAYA 23 Jan. - Kerajaan negeri komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini sekali gus mampu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa termasuk membantu usahawan sedia ada yang berminat.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130124/wj_03/Sasar-lebih-ramai-usahawan
Published: January 26, 2013

Bagi mencapai usaha tersebut, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan pelbagai program sedia ada bersama beberapa agensi terlibat dalam usaha memastikan usahawan kini lebih berdaya saing dan maju.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, seramai 2,000 usahawan sedia ada dan baharu disasarkan menyertai program yang dirancang untuk tahun ini.

"Kita akan terus merancakkan program pembangunan keusahawanan peringkat negeri tahun ini dengan matlamat untuk meningkatkan lagi kemahiran, produktiviti dan pencapaian golongan itu dalam bidang keusahawanan.

"Kerajaan negeri juga bersama agensi terlibat mengeluarkan peruntukan hampir RM5 juta setiap tahun bagi pelaksanaan pelbagai program berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Kota Iskandar, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Mohd. Johari Tarmidi dan Pengurus Besar Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB), Ashari Kasnan.

Beliau berkata, antara program dijalankan adalah Peningkatan Keupayaan Pengusaha Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP), Program Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) dan Program Galakan Usahawan (PGU).

Tambahnya, program yang terbukti berjaya itu merupakan antara usaha bagi membimbing usahawan meliputi pembangunan modal insan, kualiti produk, promosi dan pemasaran produk serta meningkatkan pengeluaran tanaman makanan.

"Sehingga tahun lepas, seramai 5,700 usahawan terlibat dengan program berkenaan dan ramai berjaya meningkatkan produktiviti jualan mereka sejak program untuk membantu golongan itu diperhebatkan dari tahun 2008.

"Lebih membanggakan mereka berjaya mencapai nilai jualan RM1 juta hingga RM150 juta setahun hasil daripada bimbingan yang diberikan dalam program yang disertai selain ada yang berjaya dibantu hingga dapat memasarkan produk ke luar negara," katanya.

Justeru, beliau berharap usahawan di negeri ini akan merebut peluang yang ada dalam usaha untuk memajukan perniagaan masing- masing.

No comments: