KUALA LUMPUR 13 Jan. - Syarikat kewangan, SME Factors menjangkakan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan bakal mencecah RM3 bilion menjelang hujung tahun ini hasil peningkatan pelanggan dan pengenalan produk baharu.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130114/ko_01/SME-Factors-sasar-RM3-bilion-pembiayaan-kepada-PKS
Published: January 14, 2013
Tahun lalu, SME Factors telah merekodkan pembiayaan sebanyak RM2 bilion, meningkat sekali ganda berbanding tahun sebelumnya.
SME Factors ditubuhkan empat tahun lalu mempunyai kepakaran dari segi mengurus profil risiko syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan matlamat membantu menyediakan penyelesaian aliran tunai kepada golongan berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Zed Al-Qudsy berkata, pelanggan baharu syarikat mencatat peningkatan sebanyak 60 peratus tahun lalu hasil diadakan pelbagai seminar kesedaran.
Menurutnya, pendekatan melalui seminar kepada PKS telah memberi pulangan yang baik dan pendedahan mengenai produk SME Factors juga dapat disampaikan lebih berkesan.
"Peningkatan ini juga disokong oleh kesedaran usahawan mengenai produk kami melalui pelbagai aktiviti yang dirancang.
"Pertumbuhan tahun ini dijangka bertambah baik berikutan banyak projek-projek besar yang diumumkan tahun lalu telah melalui fasa kedua iaitu ditenderkan kepada kontraktor kecil.
"Projek besar memerlukan sumber kewangan yang besar. Kami berpendapat SME Factors dapat membantu mereka untuk memenangi bidaan dalam memenangi kontrak berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Syed Zed berkata, tahun ini, institusi kewangan berkenaan sedang menumpukan pembangunan pusat pelanggan yang berfungsi sebagai lokasi perjumpaan dengan pelanggan baharu.
"Kami juga akan melancarkan produk baharu iaitu khusus untuk pembiayaan sektor swasta Mac ini," jelasnya.
Ketika ini, SME Factors juga sedang membangunkan produk baharu iaitu jaminan bekalan yang berperanan memberi jaminan pembayaran kepada pembekal yang terlibat dengan sesebuah projek.
"Hubungan pembekal dan kontraktor sangat penting dan perlukan kepercayaan. Oleh itu, SME Factors bertindak sebagai penjamin atau orang tengah yang akan merapatkan jurang mereka.
"Produk ini akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini. Kami mempunyai pengalaman dalam bidang kontraktor, maka setiap produk kami sentiasa memenuhi keinginan mereka," ujarnya.
No comments:
Post a Comment