Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_07.htm
Published: on 04 April 2012
KUALA TERENGGANU 3 April - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu
(YPU) akan mewujudkan peluang bercirikan perniagaan maya terutama di
kalangan usahawan yang baru berjinak dalam bidang peniagaan moden
tersebut.
Pengurus Besar YPU, Azmi Razik berkata, perniagaan maya ini merupakan
antara beberapa langkah terbaharu YPU pada tahun ini dalam usaha
melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing menerusi penjanaan
perniagaan melalui internet di negeri ini.
"Perniagaan maya ini bukan satu perkara yang asing dalam dunia
perniagaan sekarang ini. "Malah, ia juga boleh menonjolkan produk
barangan yang diusahakan oleh penduduk negeri ini bagi menembusi pasaran
antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau pihaknya menggesa usahawan baharu supaya
mencari peluang kerana terdapat lebih 100,000 rangkaian perniagaan maya
di seluruh dunia serta peluang yang diwujudkan oleh YPU melalui
perniagaan maya akan direbut oleh anak tempatan untuk memperbaiki taraf
kehidupan.
Azmi menjangka lebih 1,000 orang usahawan di Terengganu akan
dilahirkan dengan mendaftar dalam perniagaan maya dalam tempoh dua tahun
ini.
Selain itu, Azmi berkata pihaknya juga akan mewujudkan peluang
perniagaan dalam bidang telekomunikasi bersama sebuah syarikat
telekomunikasi baru Bumiptera, Clixster, yang menjangka lebih 500 orang
akan dilantik sebagai peniaga di negeri ini.
Malah, katanya, YPU menyasarkan lebih 2,000 orang usahawan akan
mendapat manfaat daripada perniagaan yang akan diwujudkan oleh YPU tahun
ini.
Azmi berkata, YPU mempunyai matlamat dan dasar untuk mendidik dan
melahirkan seberapa ramai mungkin usahawan terutamanya di kalangan
lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan penganggur siswazah tahun
ini.
Dalam perkembangan lain, YPU akan mengadakan pameran Koperasi
Usahawan Terengganu-Sarawak 2012 di Miri akhir bulan ini sebagai salah
satu usaha untuk menembusi pasaran luar produk negeri itu.
Sehubungan
itu, YPU akan mengadakan majlis pemeteraian memorandum persefahaman
(MoU) dengan Miri dan juga Brunei untuk menjadi pengedar produk barangan
keluaran Terengganu.
Sekarang ini, katanya YPU menggunakan Pusat Pengagihan, iaitu anak
syarikat YPU untuk memperkemaskan produk keluaran Terengganu melalui
karnival, pameran, ekspo supaya produk itu mampu pergi lebih jauh.
"Kita sedang giat mempromosi produk barangan yang dikeluarkan oleh
usahawan di negeri ini ke luar dari pasaran tempatan dan juga ke luar
negara.
"Saya berharap usahawan tempatan Terengganu supaya merebut peluang
kerana terdapat banyak peluang perniagaan yang menarik sekiranya mereka
rajin usahakan," katanya.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment