Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/pks-malaysia-indonesia-meterai-perjanjian-mou-1.39123
Published: on 13 April 2012
Wartawan Sinar Harian
USAHAWAN muda Malaysia dan Indonesia akan memeterai dokumen memorandum
persefahaman (MoU) meliputi 33 sektor tumpuan perniagaan.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana
Malaysia (SME Corp Malaysia), Rohana Ramly berkata, Himpunan Pengusaha
Muda Indonesia (HIPMI) dengan keanggotaan kira-kira 50,000 di seluruh
Indonesia berhasrat mengeratkan hubungan dengan usahawan muda Malaysia
supaya kedua-dua pihak saling membantu untuk manfaat bersama.
“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed telah meminta SME Corps memudahkan HIPMI memetrai MoU ini.
“Pihak kami akan berbincang dalam mendapatkan rakan sejawatan yang
tepat di Malaysia untuk HIPMI kerana ia sebuah pertubuhan sedangkan kami
agensi kerajaan. Namun kami amat serius untuk membuat susulan mengenai
MoU ini,” katanya.
Rohana berada di Surabaya dalam misi lawatan dua hari delegasi usahawan
PKS Malaysia di bawah bimbingan SME Corp Malaysia dan Perbadanan
Pembangunan Halal (HDC) yang diketuai Mustapa bertujuan menjalin
hubungan kerjasama dua hala dalam perdagangan dan pelaburan dengan
usahawan di Surabaya dan Jawa Timur.
“Selain bertujuan memperluas jaringan perniagaan, kami mahu usahawan
PKS Malaysia dapat belajar amalan-amalan terbaik PKS Indonesia sehingga
menjadikan mereka berjaya dalam sektor masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, usahawan PKS Malaysia perlu bersedia berkongsi
pengalaman dengan rakan-rakan dari Indonesia dengan matlamat memudahkan
hala tuju urusan perdagangan bersama di bawah program Komuniti Ekonomi
Asean 2015.
Beliau berkata, sesi pemadanan usahawan PKS dalam sektor yang sama
dengan rakan-rakan sejawatan dari Surabaya dan Jawa Timur membolehkan
kedua-dua pihak melihat kemungkinan meningkatkan perdagangan dan
pelaburan dua hala.
“Kerjasama ini menjadikan usahawan PKS Malaysia dan Indonesia bukan
lagi sebagai pesaing dalam perdagangan, tetapi saling melengkapi untuk
mengeluarkan produk bagi pasaran yang lebih besar dalam Asean dan di
luar Asean,” katanya.
No comments:
Post a Comment