Monday, April 16, 2012

Francais mampu sumbang RM22.5b

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FrancaismampusumbangRM22_5b/Article/index_html

Published: on 16 April 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjangkakan perniagaan francais mampu menyumbang RM22.5 bilion kepada pendapatan negara tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perniagaan itu menjana pendapatan RM21.48 bilion tahun lalu dan menjelang 2020, sebanyak RM50.5 bilion iaitu nilai pendapatan dapat disumbangkan melalui perniagaan francais.

“Dalam usaha menepati sasaran ini, kementerian memperkenalkan Skim Pinjaman Francais Mikro untuk membantu usahawan kecil dan sederhana untuk berkecimpung dalam perniagaan francais,” katanya selepas merasmikan Program Francais Komuniti Negeri Sarawak di Kuching, semalam.

Beliau berkata, menerusi skim itu, sejumlah RM8 juta diperuntukkan untuk membantu usahawan yang memerlukan modal permulaan bernilai RM50,000 dan ke bawah.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 359 usahawan dikenal pasti sebagai pemegang francais berpotensi sejak program Francais Komuniti dilancarkan tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 121 orang berjaya mendapat pinjaman dengan jumlah terkumpul RM2.58 juta yang dikeluarkan dari tabung Skim Pinjaman Francais Mikro. - Bernama

No comments: