Wednesday, April 18, 2012

PKS guna e-dagang rendah

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: on 18 April 2012

KUALA LUMPUR 17 April – Sambutan yang diterima Get Malaysian Business Online (GMBO) masih lagi dingin walaupun pelbagai insentif percuma ditawarkan oleh Google Malaysia.
GMBO yang dilancarkan pada November tahun lalu oleh Google Malaysia bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mewujudkan laman sesawang sendiri dengan menggunakan domain .com.my.

Sebanyak 10,000 peserta pertama yang menyertai GMBO akan menerima pelbagai insentif percuma seperti yuran tahunan, aplikasi Google dan khidmat latihan, namun setakat ini hanya 7,000 peserta menyertai program berkenaan.

Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud (gambar) berkata, sambutan yang perlahan itu disebabkan sikap PKS yang kurang mengambil berat terhadap teknologi.

Katanya, kebanyakan daripada mereka takut untuk terlibat dengan perniagaan dalam talian atau mewujudkan laman sesawang sendiri dengan menganggap proses tersebut memerlukan kos yang tinggi.
“Memang benar untuk membangunkan laman sesawang sendiri memerlukan kos lebih RM3,000, tetapi dengan program GMBO, hanya RM23 setahun dikenakan.

“Google menyediakan lebih 20 rekaan laman sesawang yang mudah dikendalikan. Oleh itu, peserta tidak perlu memikirkan kos untuk membangunkannya lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi penerangan program berkenaan di sini hari ini.
Tambahnya, menurut Google Malaysia, hanya 20 peratus daripada 700,000 PKS tempatan yang mempunyai laman sesawang sendiri dan jumlah ini sangat mendukacitakan.

“Jelas menunjukkan kebanyakan operasi PKS tidak diketahui hampir dua pertiga penduduk Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai kelebihan menggunakan domain .com.my berbanding .com, beliau berkata, domain tempatan lebih selamat kerana semua telah didaftarkan dan sebarang penipuan mudah dikesan.

“Domain tempatan lebih kredibiliti untuk menjalankan perniagaan terutamanya dalam urusan transaksi dalam talian terutama menerusi GMBO yang dikawal oleh Google,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, peserta GMBO hanya memerlukan 30 minit untuk membangunkan laman sesawang sendiri.

“Peserta akan ditawarkan aplikasi Google Apps dan Google Sitebuilder serta disenaraikan di Google Map secara percuma selain menerima 10 e-mel tambahan,” jelasnya.

No comments: