Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm
Published: on 09 April 2012
Oleh FAIRUS KASSIM
KUALA LUMPUR 8 April - Gyeonggi Business Centre Kuala Lumpur (GBC KL)
akan menyediakan platform kerjasama antara perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) tempatan dengan Korea Selatan.
Pengarah Serantaunya, Patrick K. K. On berkata, platform berkenaan
akan disediakan melalui penganjuran Misi Perdagangan Bandar Pocheon dari
Korea Selatan ke Malaysia pada 16 Mei ini bertempat di Hotel JW
Marriot, di sini.
"Sebanyak 13 PKS negara berkenaan akan hadir ke Malaysia bagi mencari
rakan kerjasama tempatan meliputi sektor kosmetik, makanan dan minuman,
elektrik dan elektronik, perabot dan teknologi hijau.
"Kami jangkakan lebih 100 PKS tempatan terpilih akan menyertai sesi
perbincangan untuk mencari rakan kongsi sesuai yang akan diuruskan oleh
GBC KL.
"Bagi meningkatkan kualiti PKS yang hadir, GBC KL akan membuat
tapisan awal dan PKS yang berminat boleh mendaftar dengan kami bermula
pertengahan April ini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
On berkata, GBC KL berperanan menghubungkan industri PKS Korea
Selatan dengan PKS dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi
membangunkan perniagaan masing-masing ke peringkat lebih tinggi.
"Kerajaan Korea Selatan telah menubuhkan organisasi Gyeonggi Business
Centre bagi mempermudahkan usaha meneroka pasaran luar negara
berkenaan, khususnya di Asia Tenggara untuk pasaran produk dan
perkhidmatan konsumer.
"Ketika ini, mereka sangat berminat untuk menerokai pasaran halal di
Malaysia dalam usaha mengorak langkah memasuki pasaran Asia Barat yang
dilihat berpotensi besar untuk berkembang.
"Mereka mahu membuka lebih banyak pusat operasi di Malaysia," jelasnya.
Beliau berkata, setakat ini lebih 5,000 syarikat Korea Selatan sudah
berada di Malaysia dan kebanyakannya berpusat di sekitar Lembah Klang.
"Angka tersebut tumbuh sekitar 10 peratus setahun kerana tarikan yang
dimiliki Malaysia, terutamanya dari segi sosiobudaya mudah diterima dan
kestabilan politik.
"Dianggarkan lebih 25,000 warga Korea Selatan telah menetap di Malaysia," ujarnya.
Dalam masa yang sama beliau turut menyuarakan beberapa masalah yang
dihadapi PKS Korea Selatan di Malaysia contohnya kerenah birokrasi yang
banyak melambatkan proses permohonan lesen atau kelulusan sesuatu produk
untuk dipasarkan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment