Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm
Published: on 16 April 2012
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUCHING 14 April - Program Francais Komuniti yang dilancarkan pada 14
Oktober tahun lalu, berjaya menarik penyertaan 359 francais berpotensi
dalam pelbagai bidang perniagaan dengan anggaran nilai pelaburan RM11.6
juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian program itu amat
membanggakan kerana ia baru dilancarkan di enam negeri iaitu Perak,
Selangor, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur.
Katanya, program berkenaan berjaya membuka minda masyarakat yang
sebelum ini berpandangan bahawa program francais hanya untuk peniaga
yang mempunyai modal besar antara RM500,000 dan RM1 juta.
"Pada 2011 bermula Oktober, dengan penglibatan empat negeri sudah ada
207 francais yang berpotensi untuk dibangunkan dengan nilai pelaburan
RM8.3 juta.
"Untuk tahun ini setakat hari ini, dengan penambahan dua negeri, kita
berjaya mengumpul 155 francais berpotensi dengan nilai pelaburan RM3.2
juta," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Francais
Komuniti Peringkat Negeri Sarawak hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk
Fadillah Yusof dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman.
Program Francais Komuniti diperkenalkan dengan tujuan membuka peluang
kepada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana menceburi
perniagaan francais mikro melalui pakej francaisi antara RM5,000 hingga
RM50,000 oleh syarikat tempatan bergantung kepada jenis perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, setakat ini,
sebanyak 121 francais di bawah Program Francais Komuniti menerima
pinjaman dana RM2.5 juta daripada Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF).
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana usahawan berminat supaya
merebut peluang untuk mendapatkan baki dana kira-kira RM5.5 juta bagi
memulakan perniagaan francais melalui program berkenaan.
Mengenai SPKF yang dikelolakan oleh Perbadanan Nasional Berhad,
beliau berkata, ia merupakan peruntukan khas kepada usahawan Program
Francais Komuniti mendapatkan suntikan modal dengan prosedur yang
dipermudahkan tanpa cagaran mahupun penjamin.
No comments:
Post a Comment