Wednesday, April 25, 2012

Pengusaha PKS Malaysia lawat Surabaya puas hati

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/pengusaha-pks-malaysia-lawat-surabaya-puas-hati-1.42484

Published: on 25 April 2012

SURABAYA – Rombongan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke Surabaya, Indonesia baru-baru ini berpuas hati melalui persetujuan untuk menjalinkan perniagaan dengan lebih erat.
Sambil mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed atas inisiatif beliau mengetuai rombongan berkenaan, golongan pengusaha PKS ini berharap akan ada lebih banyak program pelaburan seperti ini dapat diaturkan lagi.
 
Menurut ketua rombongan, Wan Johari Wan Daud, sejumlah 25 wakil pengusaha daripada 18 syarikat PKS yang menyertai rombongan ini berjaya menimba pengalaman dan pengetahuan yang cukup berharga apabila dapat menjalinkan hubungan perniagaan dengan pengusaha dari Jawa Timur.
 
“Banyak peluang perniagaan hasil kerjasama ini mula diperolehi kami daripada beberapa syarikat di Surabaya. Contohnya seperti bidang perniagaan daging salai yang diusahakan syarikat saya telah berjaya menarik minat sebuah syarikat di Surabaya, iaitu PT Sekar Laut yang ingin membuat tempahan dalam masa terdekat,” katanya yang memiliki syarikat Hyper Food Holding Sdn Bhd di Sungai Buloh, Selangor.
 
Misi tersebut merupakan usaha Miti untuk memperkukuhkan jaringan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan pengusaha dan persatuan-persatuan perniagaan Jawa Timur,
 
Seramai 26 usahawan tempatan di bawah bimbingan SME Corp Malaysia dan Halal Development Corporation, iaitu agensi-agensi di bawah MITI, turut menyertai misi itu.
 
Demi mempercepatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam bidang perniagaan ini, Wan Johari bagaimanapun berharap Kementerian Per­dagangan An­ta­rabangsa dan Industri dapat membantu sege­ra pengusaha-pengusaha PKS ini dalam apa juga masalah yang dihadapi mereka, terutama sekali dari segi pinjaman kewangan.
 
Wan Johari turut mencadangkan lawatan yang dianjurkan oleh Miti ini selepas ini agar lebih fokus dan terancang, terutama sekali dari segi pemilihan rakan peniaga yang benar-benar berpotensi.
 
Antara pengusaha PKS yang menyertai lawatan tersebut termasuk daripada bidang pembinaan, kosmetik, ais krim, madu, kopi, pembungkusan, daging salai, keropok, mee Bandung dan ikan beku.
 
Dalam pada itu, Mustapa turut bangga dengan minat yang ditunjukkan oleh pengusaha PKS Malaysia untuk memulakan usaha sama perniagaan dengan pengusaha dari Indonesia.
 
Sambil menyifatkan lawatan kali ini berjaya dan mencapai mat­lamat, Mustapa menda­pati persatuan-persatuan per­niagaan Indonesia seper­ti Himpunan Pengusaha Mu­da Indonesia (HIPMI) dan Dewan Perniagaan dan In­dustri (KADIN) juga mempu­nyai perancangan tersendiri un­tuk menjalinkan hubungan perda­ga­ngan dengan pengusaha PKS dari Malaysia.
 
Mustapa berkata, beliau sebelum ini telah mengadakan lawatan kerja ke Jogjakarta, Bali, Balikpapan dan Manado, selain Jakarta.
 
“Tumpuan kepada wilayah-wilayah di luar Jakarta harus ditekankan berikutan wilayah-wilayah tersebut dilihat semakin berkembang dari segi ekonominya,” katanya.

No comments: