Published: on 19 April 2012
LEBIH 6,000 laman web usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilancarkan melalui program Get Malaysian Business Online (GMBO) yang diterajui Google Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Bagaimanapun, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksport Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, angka itu masih terlalu rendah rendah kerana 80 peratus PKS belum memiliki laman web perniagaan.
“GMBO mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MyDomain Registry menawarkan program itu kepada 800,000 usahawan PKS seluruh negara ketika ini,” katanya.
Menurutnya, sambutan masih perlahan, namun pihaknya yakin mampu mencapai penembusan penggunaan laman web di kalangan PKS.
“Ia berikutan kekangan yang beranggapan pembangunan laman web agak mahal.
“Oleh sebab itu, mereka (PKS) perlu menyertai GMBO,” katanya selepas seminar GMBO di Kuala Lumpur, semalam.
Ia turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Matrade, Raja Nor Zihan Raja Mohsin dan Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof.
Dzulkifli berkata, ada usahawan PKS merasakan perniagaan online memerlukan kos tinggi atau terlalu rumit untuk dikendalikan.
Sebelum ini, Google Malaysia melabur RM10 juta untuk mempromosikan GMBO bagi mahu menukarkan tanggapan itu.
“Antara kelebihan GMBO ialah pelanggan akan lebih yakin menjalankan urusan perniagaan dengan laman web yang dibuka kerana GMBO hanya mendaftarkan perniagaan PKS disahkan berdaftar dengan agensi berkaitan bagi mengelakkan penipuan dalam talian,” katanya.
No comments:
Post a Comment