Friday, April 27, 2012

Sokongan modal RM30 juta bantu syarikat Bumiputera

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SokonganmodalRM30jutabantusyarikatBumiputera/Article

Published: on 27 April 2012

EKUITI Nasional Bhd (EKUINAS) bersedia menyalurkan dana bagi membantu syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk menyertai tender membida syarikat bukan teras yang akan dijual Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, EKUINAS bersedia menyediakan sokongan modal sehingga RM30 juta kepada syarikat Bumiputera terbabit.

“Idea sebenar pelupusan aset bukan teras milik PNB dan Khazanah itu adalah untuk membolehkan usahawan atau syarikat Bumiputera yang layak membeli atau mengambilalihnya.

“Bagaimanapun usahawan atau syarikat Bumiputera yang layak itu mungkin tidak memiliki kekuatan kewangan, jadi di situlah peranan kami untuk menyokong mereka” katanya selepas majlis pengumuman prestasi tahun kedua EKUINAS di Kuala Lumpur semalam.

Bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, berkata 10 syarikat, iaitu lima di bawah PNB dan lima di bawah Khazanah akan dilupuskan kepada syarikat Bumiputera yang layak menerusi tender terbuka.

Perdana Menteri berkata, tujuan PNB dan Khazanah melupuskan perniagaan bukan teras itu adalah untuk memberi peluang kepada syarikat Bumiputera yang berpotensi dan terbukti mempunyai kemampuan untuk mengambil alih dan memajukannya lagi.

Abdul Rahman berkata, keseluruhan idea berhubung pelupusan itu juga ialah untuk membolehkan usahawan atau pasukan pengurusan Bumiputera yang mendapat sokongan dan bantuan dari pengurus dana ekuiti persendirian milik kerajaan itu, membuktikan kemampuan dalam mengemudi dan memajukan lagi aset yang suatu ketika dulu pernah dimiliki PNB dan Khazanah.

Mengenai jenis aset bukan teras milik PNB dan Khazanah yang berpotensi untuk diambilalih syarikat Bumiputera yang mendapat sokongan kewangan EKUINAS itu, Abdul Rahman berkata: “Senarai aset bukan teras itu buat masa ini masih lagi rahsia. Sebaik ia diumumkan, kami akan bercakap dengan syarikat Bumiputera terbabit untuk menilai sama ada berbaloi atau tidak untuk membidanya.”

Dalam pada itu, sumber berkata, syarikat bukan teras milik PNB dan Khazanah yang akan dilupuskan kepada syarikat Bumiputera yang layak itu, kini dalam proses akhir mendapatkan keputusan daripada Lembaga Pengarah masing-masing.

“Jika semuanya berjalan lancar, senarai nama 10 syarikat bukan teras PNB dan Khazanah itu akan diumumkan sama ada pada pertengahan atau lewat bulan depan,” kata sumber berkenaan.

No comments: