Tuesday, April 10, 2012

Al-Araby buka pasar raya di Asia Barat

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_05.htm

Published: on 10 April 2012



SANI Araby (kiri) mendengar penerangan daripada 
pengusaha produk makanan keluaran IKS Bumiputera 
semasa taklimat di Perda Butterworth Pulau Pinang, 
semalam.  
 

BUTTERWORTH 9 April - Kehadiran lebih 11,000 penuntut Malaysia di Mesir telah memberi peluang kepada sebuah syarikat tempatan untuk membuka perniagaan menjual produk-produk hasil industri kecil dan sederhana (IKS) Malaysia di negara itu.

Syarikat milik penuh bumiputera, Al-Araby Holdings (M) Sdn. Bhd. itu akan memperluaskan cabang perniagaannya di negara Asia Barat melalui pembukaan pasar raya 7 Days Store & Wholesale (Cairo) yang akan memulakan operasi pada Jun ini.

Pengerusinya, Ahmad Sani Araby Abdul Halim Araby berkata, kualiti produk-produk IKS tempatan telah terbukti mencapai kualiti pasaran antarabangsa serta halal.

"Kami menyahut seruan kerajaan untuk membawa keluar produk IKS tempatan ke peringkat global dan melalui pasar raya ini penuntut kita di Mesir berpeluang mendapatkan bahan-bahan makanan bercita rasa Malaysia.

"Selain penuntut Malaysia, pasar raya ini menyasarkan pelajar dari negara serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina, selain masyarakat tempatan sendiri," katanya pada majlis taklimat di pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini hari ini.

Jelas Ahmad Sani, sebanyak 200 produk akan dibawa ke Mesir pada peringkat awal pembukaan pasar raya itu sebelum ditambah.

Tambah beliau, satu jawatankuasa akan meneliti semua sampel produk yang dipilih sebelum penghantaran pertama dimulakan Mei ini, selain memperhalusi beberapa aspek seperti ketahanan produk serta keupayaan syarikat IKS untuk memenuhi permintaan dalam kuantiti besar.

"Kita dapati 65 peratus produk yang ada pada hari ini memiliki potensi untuk dieksport ke sana (Mesir), namun ada beberapa perkara teknikal perlu diperhalusi agar produk dapat kekal di pasaran," ujarnya.
Selain pasar raya, syarikat itu juga memiliki sebuah restoran makanan Asia Barat dinamakan Al-Araby Matha'am, pusat percetakan House of Printing serta syarikat jualan emas Precious Gold Tree International Sdn. Bhd.

No comments: