Wednesday, April 4, 2012

Usahawan Johor diminta sedia ambil peluang projek RAPID

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Published: on 04 April 2012

JOHOR BAHRU 3 April - Usahawan negeri Johor, terutamanya yang terlibat di dalam industri minyak dan gas, diminta mengambil peluang yang bakal wujud hasil dari pelaksanaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) bernilai RM60.6 bilion oleh Petronas.

Exco Pembangunan Usahawan, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor, Datuk Maulizan Bujang berkata, peluang yang bakal terhasil daripada projek RAPID itu adalah amat besar sekali dan ia perlu direbut.

"Projek RAPID Petronas di Pengerang itu adalah lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh syarikat minyak negara di Kerteh, Terengganu dan ia menyediakan pelbagai peluang untuk direbut oleh usahawan tempatan.

"Syarikat-syarikat Johor perlu bersedia dari sekarang dan mula mengintai peluang yang ada menerusi pembangunan projek RAPID itu," katanya kepada Bernama dalam temuramah di sini hari ini.

Projek RAPID yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016 itu akan menjadikan Pengerang yang terletak di Timur Johor sebagai hab industri minyak dan gas terbaharu di Asia Tenggara, menyaingi Singapura.

Projek itu yang turut meliputi antaranya pembinaan loji penapisan minyak, loji petrokimia dan terminal simpanan minyak serta jeti laut dalam.

Penganalisis ekonomi menjangkakan Pengerang akan menerima pelaburan susulan RM100 bilion dari syarikat-syarikat minyak dan gas dari dalam dan luar negara.

Maulizan berharap Petronas dapat mengambil kira syarikat-syarikat minyak dan gas yang berpengkalan di Johor untuk terlibat sama di dalam pembangunan projek berskala besar RAPID itu.

"Saya berkeyakinan Petronas yang dipertanggung jawab untuk membimbing usahawan minyak dan gas tempatan tidak akan mengenepikan usahawan dari negeri Johor," katanya.

Pada ketika ini katanya, banyak syarikat minyak dan gas yang berpengkalan di Johor telah pun berada di bawah naungan Petronas menerusi program vendor syarikat minyak negara itu.

Syarikat-syarikat Johor yang sudah pun termasuk di dalam program vendor Petronas kata Maulizan, akan menerima tempiasnya di dalam bentuk peluang-peluang hasil daripada pembangunan projek RAPID. — BERNAMA

No comments: