Sunday, May 6, 2012

Usahawan digalak rebut peluang dalam industri halal

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/usahawan-digalak-rebut-peluang-dalam-industri-halal-1.45855

Published: on 06 May 2012

KOTA BAHARU - Usahawan perlu merebut peluang dalam industri halal yang kini menawarkan potensi besar dalam pasaran luar negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini terbukti berdasarkan jumlah eksport produk halal negara yang meningkat daripada RM23.1 bilion pada 2010 kepada RM35.4 bilion pada tahun lepas.

Petunjuk memberangsangkan itu adalah hasil daripada usaha kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif yang menjurus kepada melestarikan integriti halal, pembangunan keupayaan syarikat halal serta promosi dan penjenamaan Halal Malaysia, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Halal Pengkalan Chepa di Kompleks Industri Mara (KIM) Fasa II dekat sini, hari ini.

Mustapa berkata destinasi utama eksport bagi produk halal negara ialah ke China, Amerika Syarikat dan Singapura manakala negara di rantau teluk menunjukkan potensi besar.

Dalam lawatan beliau ke Oman baru-baru ini, Mustapa berkata kerajaan Oman secara rasmi memohon untuk menggunakan sijil Halal Malaysia berikutan produk halal keluaran negara ini sudah diterima baik di seluruh dunia.

Beliau berkata kerajaan Oman juga mempelawa usahawan Malaysia melabur dalam industri halal yang akan dibangunkan di negara tersebut.

"Peluang cukup besar, mereka tidak ada kepakaran, mereka sediakan insentif yang cukup baik, mereka sedang membangunkan beberapa kawasan perindustrian kerana mereka hendak pelbagaikan ekonominya, mereka tidak lagi mahu bergantung hanya kepada industri minyak dan gas," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Datuk Seri Jamil Bidin berkata kerjasama HDC bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertujuan meningkatkan jumlah syarikat Bumiputera dalam industri halal.

Beliau berkata setakat ini, hanya 30 peratus daripada 4,800 syarikat yang mengeluarkan produk halal, terdiri daripada syarikat Bumiputera yang kebanyakannya tergolong dalam usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). - Bernama

No comments: