Sunday, May 13, 2012

Usahawan ICT bertaraf dunia

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Published: on 13 May 2012
Oleh fairus kassim
ekonomi@utusan.com.my

Badlisham Ghazali

KUALA LUMPUR 11 Mei - Program Pembangunan Kandungan Bersepadu Malaysia MSC Kedua (Icon2) talah berjaya melahirkan 69 aplikasi tempatan untuk Apple iTunes dan Android App Store dengan sasaran perolehan RM100,000 tahun ini.

Icon2 adalah program di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang berperanan melahirkan usahawan pembangun aplikasi kandungan untuk gajet pintar dengan geran keseluruhan bernilai RM4.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MDec, Datuk Badlisham Ghazali berkata, peserta Icon2 akan disediakan platform pembangunan dan dana yang diperlukan bagi menghasilkan idea aplikasi masing-masing.

"Ini merupakan langkah jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu menghasilkan aplikasi bertaraf antarabangsa," katanya pada sidang akhbar semasa pameran Go Mobile 2012, di sini hari ini.

Sejak dilancarkan, Icon2 telah mencatatkan 450 peluang pekerjaan baru dengan 96 projek dilaksanakan pada peringkat awal.

Antara peserta yang cemerlang ialah pembangun aplikasi Arms F&B (Restaurant Pos) yang telah menerima 2,000 muat turun dan menjana perolehan sebanyak RM14,750. Manakala aplikasi percuma pula adalah Diary Muslim yang mencatatkan 1,367 muat turun.

Badlisham berkata, sejak program Icon dilancarkan pada 2009, 1,115 peserta telah dilatih dengan 15 aplikasi telah berjaya diserapkan ke Apple iTunes dan Android AppStore, manakala 99 lagi aplikasi di peringkat prototaip.

"Antara aplikasi berjaya adalah 1Malaysia Hotline yang berjaya meraih 50,000 muat turun dan Kiddie Song yang telah menjana perolehan sebanyak RM25,000.

"Sebanyak RM12.6 juta diperuntukkan dalam bentuk geran untuk program Icon1," jelasnya.
Sementara itu, pameran Go Mobile 2012 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan untuk mendedahkan kepentingan teknologi mudah alih kepada orang ramai.

Antara peserta yang terlibat adalah, Celcom, Maxis, Yes, P1 Wimax, Maybank dan lebih 150 syarikat terkenal yang memiliki aplikasi untuk gajet pintar sendiri.

No comments: