Monday, May 14, 2012

Produk F&B Malaysia kini di persada dunia

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm

Published: on 14 May 2012
Oleh Azman Ibrahim

SHANGHAI 13 Mei - Sebanyak 2,220 jenis produk makanan dan minuman (F&B) keluaran Malaysia kini di persada dunia hasil program Taste of Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sejak 2005.

Taste of Malaysia dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama pengendali-pengendali pasar raya besar dunia.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim berkata, pasar raya besar di luar negara ini telah menjadi platform terbaik kepada produk-produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memulakan rangkaian perniagaan masing-masing di peringkat antarabangsa dan terus berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, sambutan terhadap produk keluaran Malaysia seperti kopi, madu, sos cili, kerepek, jeli dan banyak lagi pada waktu ini amat memberangsangkan dan ia semakin dikenali masyarakat antarabangsa.
“Bagaimanapun, semua PKS di Malaysia perlu memahami kehendak pasaran bagi setiap negara yang akan dibawa masuk dengan produk-produk buatan Malaysia.

“Malah, pasaran yang khusus mampu memberi tarikan selain mengurangkan persaingan dengan produk-produk hasil keluaran di negara-negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taste of Malaysia di Tesco Dahua, Shanghai di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Naib Presiden Eksekutif Tesco China, Raymond Su dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores Malaysia Sdn. Bhd. Sunghwan Do, Pengarah Hubungan Kerajaan Tesco Stores Malaysia Sdn. Bhd. AzlamShah Alias dan Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Hendy Assan.

Taste of Malaysia dimulakan sejak 2005 dan telah menembusi pasaran di pelbagai bandar raya di dunia termasuk Hong Kong, Jakarta, Singapura, London, Paris, Dubai, Turki, Beijing dan Shanghai di China.
Tambah Saripuddin, pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan beberapa pengendali pasar raya besar lain selain Tesco ke tiga destinasi dunia bagi mempromosi Taste of Malaysia.

Untuk itu kata beliau, pihaknya telah memilih untuk memperkenalkan produk-produk Malaysia di Tokyo, sekali lagi di Hong Kong dan juga China pada akhir tahun ini.

Malah, tambah Saripuddin, pihaknya telah pun menjalankan sebanyak 13 program Taste of Malaysia pada tahun ini termasuk di Shanghai.
Di Shanghai, produk-produk Malaysia dibawa masuk melalui Tesco Dahua.

Kata Saripuddin, sebagai permulaan, Tesco Dahua Shanghai telah menerima sebanyak 40 produk keluaran Malaysia dan dijangka sebanyak 60 produk lagi akan di bawa masuk pada tahun ini.

No comments: