Friday, May 18, 2012

Teroka bidang baru

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012051803213720120518032137/Article/index_html

Published: on 18 May 2012
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

PRODUK  BUMIPUTERA...(dari kiri) Presiden Persatuan dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Abd Rahim Abu Bakar, Muhyiddin dan Raja Nong Chik melawat  gerai pameran selepas mesyuarat, semalam.
PRODUK BUMIPUTERA...(dari kiri) Presiden 
Persatuan dan Industri Perkhidmatan Bumiputera 
Malaysia, Datuk Abd Rahim Abu Bakar, Muhyiddin 
dan Raja Nong Chik melawat gerai pameran selepas 
mesyuarat, semalam. 

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu usahawan Bumiputera mempertimbangkan dengan sewajarnya penggunaan sistem perbankan Islam dalam perniagaan mereka secara lebih kerap.

Ini kerana menurutnya, produk dan perkhidmatan yang disediakan institusi kewangan negara ini berlandaskan hukum syarak, sekali gus membuktikan Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang lengkap merangkumi takaful dan perniagaan saham dalam Bursa Kuala Lumpur.

“Dan melalui Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah yang diumumkan baru-baru ini, kerajaan Persekutuan akan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan bank yang dikenakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dana berjumlah RM2 bilion dalam bentuk rebat dua peratus adalah bagi permohonan pembiayaan berjumlah sehingga RM5 juta yang diluluskan sehingga 2013.

“Kerajaan buat khas untuk membantu PKS yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam semua bidang yang patuh Syariah, kecuali perkhidmatan kewangan,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga penaung persatuan.


Muhyiddin turut berkata, bagi meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera, golongan peniaga itu harus berusaha bersungguh-sungguh untuk berhijrah ke skala ekonomi yang lebih besar termasuk kepada berteknologi tinggi berasaskan inovasi dan kreativiti.

Katanya, skala ekonomi begitu mempunyai nilai tambah dan berkeupayaan menjana pendapatan tinggi berasaskan sektor baru.

“Pengetahuan teknologi terkini ditambah dengan inovasi boleh menjana ekonomi kaum Bumiputera dengan lebih tinggi lagi manakala idea segar dan kepakaran baru dari golongan usahawan muda juga perlu dioptimumkan.

“Oleh itu, usahawan Bumiputera perlu lebih berani meneroka bidang baharu dalam sektor bernilai tinggi yang belum dikuasai sesiapa, termasuk dalam pasaran baru dan tidak bergantung kepada pasaran domestik semata-mata,” katanya.

No comments: