Friday, May 25, 2012

Had kelayakan MDG RM100,000 mulai Julai

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HadkelayakanMDGRM100_000mulaiJulai/Article

Published: on 25 May 2012
Oleh Mahanum Abdul Aziz

Penambahan dana galak PKS teroka pasaran global

BERKUAT kuasa 1 Julai ini, had kelayakan bagi geran pembangunan pasaran (MDG) dinaikkan kepada RM100,000 berbanding hanya RM30,000 sebelum ini. Sejajar dengan itu, kerajaan menambah peruntukan bagi geran itu kepada RM52 juta daripada RM20 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata syarikat yang layak memohon geran itu juga diperluaskan bagi meliputi syarikat perkhidmatan yang mempunyai pendapatan jualan kurang daripada RM25 juta dan kakitangan kurang daripada 150 orang.

Katanya, sebelum ini, bagi penyedia perkhidmatan, syarikat yang layak hanyalah yang mempunyai pendapatan jualan kurang daripada RM5 juta dan mempunyai pekerja kurang daripada 50 orang.

“Bermula tahun ini, kerajaan sudah meningkatkan jumlah peruntukan MDG dengan ketara kepada RM52 juta berbanding RM20 juta sebelum ini bagi membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggiatkan lagi usaha pemasaran produk mereka ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar mengenai Pembiayaan Perdagangan kepada Pengeksport SME di Kuala Lumpur semalam.

Mustapa berkata, bermula tahun ini, koperasi yang mengeksport produk keluaran Malaysia juga layak untuk memohon geran itu.

Jelasnya, antara syarat penggunaan geran itu ialah untuk membayar yuran penyenaraian di pasar raya atau pasar raya besar di luar negara, pendaftaran paten antarabangsa, cap dagang, harta intelek serta kos permulaan bagi membuka pejabat cawangan di luar negara bagi penyedia perkhidmatan.

“Saya berharap dengan pertambahan peruntukan geran ini (MDG) serta perubahan kelayakan memohonnya, ia akan menggalakkan lebih banyak PKS di negara ini untuk meneroka pasaran antarabangsa secara lebih agresif,” katanya.

Tahun lalu, 1,300 syarikat PKS mendapat manfaat daripada geran itu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM12.34 juta. Bagi tahun ini pula, sebanyak 631 lagi PKS sudah menerima geran berkenaan. 

No comments: