Tuesday, May 15, 2012

Potensi pelaburan francais RM80.7j

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PotensipelaburanfrancaisRM80_7j/Article/index_html

Published: on 15 May 2012

MISI Promosi Francais Malaysia ke China yang berakhir kelmarin membuahkan hasil memberangsangkan dengan potensi pelaburan bernilai RM80.724 juta.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dalam kenyataan di Kuala Lumpur berkata, potensi pelaburan itu diraih melalui rundingan perniagaan awal dengan 157 bakal francaisi berpotensi.

Misi itu diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Saripuddin Kasim sempena Konvensyen dan Pameran Francais China (CFCE) 2012 ke-14 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Mei lalu.

Saripuddin berkata, penyertaan delegasi Malaysia ke CFCE 2012 dilihat sebagai satu langkah signifikan ke arah penembusan produk dan perkhidmatan francais tempatan ke luar negara.

“Pasaran China dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi produk francais tempatan mengembangkan sayap mereka ke peringkat global,” katanya.

Menurutnya, jenama francais Malaysia ke China mendapat sambutan menggalakkan pengunjung ekspo yang terdiri daripada usahawan dan pelabur negara itu.


Sepanjang ekspo itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengatur program pemadanan perniagaan antara syarikat francais Malaysia dengan 30 pelabur berpotensi dari China.

Selain itu, satu memorandum persefahaman antara syarikat francais Malaysia dengan syarikat China iaitu Station 1 Leisure Cafe juga dimeterai bersempena pembukaan cawangan pertamanya di Beijing, China.
Sehingga kini, 19 syarikat francaisor tempatan telah berjaya membuka 79 cawangan francais di China.

No comments: