Friday, May 18, 2012

Tekun: Guna sistem auto debit

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tekun-guna-sistem-auto-debit-1.48819

Published: on 18 May 2012

KULIM - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) menggunakan sistem auto debit sejak awal Mei ini dalam usaha memudahkan kemasukan wang pinjaman ke dalam akaun anggota.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata sistem debit itu dapat menjimatkan caj kos penghantaran cepat hampir RM200,000 setahun.

”Sistem ini bukan sahaja lebih efisien dan cepat juga dapat menjimat kos," katanya kepada pemberita selepas majlis Perjumpaan Usahawan Tekun Parlimen Kulim di Dewan Bandaran di sini petang semalam.

Hampir 1,000 usahawan Tekun daripada kawasan Parlimen tersebut hadir pada majlis yang dirasmikan Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Abdul Rahim berkata sejak awal tahun, bayaran balik yang diterima daripada peminjam Tekun meningkat RM24 juta sebulan dan pihaknya telah meningkatkan pengeluaran pinjaman kepada ahli ke tahap RM300 juta.

”Pihak pentadbiran pusat Tekun memuji tindakan proaktif kakitangan pejabat di daerah-daerah dan bahagian kerana tanpa usaha dan kerja keras mereka situasi tersebut tidak akan terjadi," katanya.

Beliau berkata kakitangan mendapat insentif atas usaha dan kerja keras mereka meningkatkan jumlah bayaran balik di pejabat masing-masing.

Katanya sejak ditubuhkan pada 1998 hingga kini, Tekun telah mengeluarkan sejumlah RM2.07 bilion kepada 212,475 peminjam dan di Kedah sahaja lebih RM195 juta pinjaman diluluskan untuk 21,089 peminjam sehingga April lalu.

Mengenai bayaran balik pinjaman, Abdul Rahim berkata negeri-negeri yang mempunyai lebih ramai penduduk luar bandar seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Sabah serta Sarawak, pembayaran baliknya sudah meningkat berbanding negeri-negeri lebih membangun seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Abdul Rahim berkata beliau berbangga kerana Tekun telah berjaya melahirkan bukan sahaja usahawan kecil khususnya di kalangan Bumiputera tetapi juga usahawan berprestasi menengah dan tinggi.

Pada majlis sama pihak Tekun mengiktiraf lima orang ahlinya dari kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu untuk menerima Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang manakala warga kerja Tekun dalam kawasan sama menerima anugerah penghargaan.

Sementara itu sekumpulan 40 orang ahli Tekun juga menerima kelulusan pinjaman berjumlah RM360,000. - Bernama

No comments: