Wednesday, May 2, 2012

Menambah bilangan syarikat bumiputera

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm

Published: on 02 May 2012
Mohd Noordin Abbas
PENULIS ialah penganalisis ekonomi,
bekas Ketua Pegawai Eksekutif Export-Import
Bank Malaysia Berhad dan Malaysia Export Credit Insurance Berhad.

SEKIRANYA komitmen Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani masalah kekurangan ekuiti bumiputera masih diragui, pengumuman beliau baru-baru ini tentang pelupusan 10 syarikat milik Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pasti melenyapkan kesangsian tersebut.

Syarikat-syarikat yang akan dilupuskan ini adalah yang dikategorikan sebagai bukan teras pada perniagaan Khazanah PNB. Beliau juga mengumumkan peningkatan ekuiti bumiputera daripada 21.90 peratus (%) bernilai RM127.4 bilion pada penghujung 2008 kepada 23.09% bernilai RM167.7 bilion pada penghujung 2010.

Sememangnya terdapat banyak kebaikan pada konsep pulupusan atau penswastaan ini. Secara amnya program pelupusan ini dapat meningkatkan produktiviti dan seterusnya prestasi syarikat-syarikat yang diswastakan.

Lebih efektif lagi apabila syarikat-syarikat yang akan dipilih untuk mengambil alih milik nanti dijamin adalah mereka yang kukuh dan berkemampuan. Dengan ini, syarikat-syarikat yang diambil alih boleh berkembang dengan lebih cepat serta berpeluang menerokai pasaran-pasaran baru terutama pasaran di rantau ini.

Sekiranya dianalisis darpada perspektif ekonomi, pendekatan pelupusan ini dapat mempercepatkan proses peningkatan ekuiti bumiputera dalam peratusan pembahagian ekonomi negara. Maka, pengumuman Perdana Menteri untuk memilih syarikat-syarikat yang kukuh serta berkemampuan menjadi pemilik baru bagi syarikat-syarikat bukan teras tersebut amat wajar.

Di samping itu, saya ingin menyarankan agar kerajaan juga memberi peluang kepada pihak pengurusan syarikat-syarikat bukan teras itu sendiri untuk memegang sebahagian saham syarikat yang mereka terajui. Pendekatan ini boleh memberi insentif yang lebih kepada pihak pengurusan tersebut untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dalam mengendalikan syarikat.

Selain itu, syarikat bumiputera yang mempunyai rekod prestasi yang baik, harus juga diberi peluang mengambil alih syarikat-syarikat bukan teras ini, biarpun mereka bukan bertaraf syarikat gergasi,
terutamanya yang berpotensi menjana sinergi berikutan kesinambungan dengan perniagaan syarikat-syarikat bukan teras yang diambil alih.
Usaha ini saya pasti akan dapat menambah bukan sahaja kualiti, malah juga bilangan syarikat bumiputera yang sederhana besar dan berpotensi tinggi.

Kerajaan boleh memantau prestasi syarikat-syarikat yang telah dilupuskan ini selama suatu jangka masa yang ditetapkan sekiranya syarikat-syarikat ini memerlukan sebarang pertolongan dari segi teknikal atau kepakaran, sama seperti yang kerajaan lakukan dalam Teraju.

Ternyata Najib menggalakkan syarikat-syarikat gergasi kepunyaan kerajaan memainkan peranan sebagai pendukung utama pada awal perniagaan syarikat-syarikat bukan teras kepunyaan mereka sebelum melupuskan kepada syarikat-syarikat bumiputera yang layak mengambil alih.
Tindakan ini dapat membantu membawa mereka ke tahap kejayaan yang lebih cemerlang dan pada masa yang sama menambah peratusan ekuiti bumiputera.

Yang diharapkan nanti, syarikat-syarikat ini tidak cepat berpuas hati hanya dengan pasaran domestik, sebaliknya akan lebih baik jika mereka dapat bekerjasama dan bergabung keupayaan dengan syarikat-syarikat bukan bumiputera di atas semangat 1Malaysia dan meneroka pasaran dunia yang jauh lebih luas dan menguntungkan.

No comments: