Wednesday, March 14, 2012

MITI sasar MIHAS kutip RM500j

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MITIsasarMIHASkutipRM500j/Article

Published: on 14 March 2012
Oleh Che Wan Badrul Alias

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menyasar Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Kesembilan mampu mencatatkan potensi jualan sehingga RM500 juta, tahun ini, meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang masih tidak menentu serta pengukuhan nilai ringgit yang menyukarkan perdagangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata pasaran halal adalah unik dan memiliki penerokaan tersendiri, justeru menjadikannya berdaya tahan terhadap sebarang masalah ekonomi global khususnya krisis kewangan Eropah.
Katanya, keunikan pasaran ini dapat dilihat dari segi pembabitan peserta industri makanan halal dan perkhidmatan berasaskan syariah yang begitu memberangsangkan.
Katanya, selain daripada berpotensi dipasarkan kepada 1.8 bilion, produk halal juga turut diterima baik penduduk bukan Islam.

“Ia dibuktikan apabila MIHAS tahun ini menerima dua lagi penyertaan baru daripada negara bukan Islam iaitu Korea dan Sri Lanka, menjadikan jumlah negara yang turut serta dalam pameran sempena Minggu Halal Malaysia (MHM) itu kepada 23 negara.

“Bagi kementerian, sekiranya MIHAS kali ini dapat mencapai jumlah jualan yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM588.24 juta, ia sudah memadai kerana jumlah ini bukannya jumlah yang kecil,” katanya pada majlis makan tengah hari MIHAS, di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, sehingga kini hampir 90 peratus ruang pameran sudah ditempah manakala bakinya dijangka habis ditempah tidak lama lagi.
Katanya, peserta daripada sektor makanan dan minuman (F&B) halal terus mendominasi ruang pameran tahun ini iaitu sekitar 154 gerai atau 28.77 peratus berbanding jumlah keseluruhan 518 gerai.

“Kebanyakan peserta adalah daripada sektor F&B, farmasutikal, kosmetik dan pembungkusan makanan. Ada juga penyertaan daripada sektor perkhidmatan, perbankan & kewangan berasaskan syariah, mesin dan perkakasan makanan.

“Selaras dengan tema tahun ini iaitu Memperkasakan Pasaran Halal Global, penganjur yakin pameran ini mampu menjadi platform yang menyediakan akses industri halal kepada pembeli, pedagang asing, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat multinasional, pelabur dan penganalisis dari seluruh dunia,” katanya.

No comments: