Friday, March 2, 2012

Durian runtuh peserta TSK

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DurianruntuhpesertaTSK/Article/index_html

Published: on 02 March 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerusi anak syarikatnya, Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) optimis mencapai unjuran perolehan ladang hampir mencecah RM350 juta, sekali gus memberi pulangan dividen kepada peserta projek Tanam Semula Komersial (TSK) sebanyak RM163 juta, tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Rahim Thamby Chik (gambar) berkata, keyakinan itu didorong langkah badan berkenaan memperbanyakkan projek TSK di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Bagi tahun ini, kami menjangkakan mampu mencatat perolehan ladang sebanyak RM349 juta, manakala pendapatan bersih ditolak kos ladang berjumlah RM164 juta,” katanya kepada Bisnes Metro di Ampang, Selangor.
Beliau berkata, untuk tahun ini, RPSB akan membangunkan ladang seluas 10,500 hektar membabitkan projek TSK yang meliputi 5,600 hektar tanaman sawit dan getah (4,900 hektar).

“Kawasan projek yang sudah dikenal pasti ialah TSK seluas 5,000 hektar, TSK Orang Asli (1,000 hektar), agropolitan (500 hektar), tanah kerajaan (3,000 hektar) dan ladang usahasama (1,000 hektar).

“Setakat ini projek TSK mempunyai peserta sebanyak 26,958 orang dan kami menyasarkan penyertaan 7,000 peserta baru bagi 2012,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, Risda bakal mengembangkan sayapnya ke Kemboja dengan meneroka 10,000 hektar tanah di negara itu untuk dibangunkan dengan tanaman getah.

“Projek ini akan dilaksanakan RPSB akan dimulakan selepas kajian daya majunya dijalankan tidak lama lagi. Selain membuka ladang, kami akan menyumbang kepakaran bagi membantu pekebun kecil getah di negara itu melaksanakan skim tanam semula,” katanya.
Rahim berkata, keputusan untuk meneroka ladang di Kemboja itu dibuat selepas Risda menerima pelawaan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang meminta pihaknya membantu pekebun kecil di negara berkenaan yang kekurangan modal dan tidak mempunyai kepakaran untuk menjalankan skim tanaman semula.

“Kami akan menghantar pasukan teknikal untuk mengkaji kesesuaian tanah selain meneliti faedah yang akan kita peroleh menerusi pelaburan di sana,” katanya.

No comments: