Monday, March 5, 2012

Jana transaksi RM1b

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JanatransaksiRM1b/Article/index_html

Published: on 05 March 2012

SEJAK 10 tahun lalu, Persatuan Usahawan Teknologi Malaysia (TeAM) membantu lebih 2,000 usahawan di negara ini membangun dan memasarkan produk serta perkhidmatan masing-masing.
Bagaimanapun, bermula tahun ini, persatuan itu lebih memfokuskan membantu usahawan teknologi terutama di kalangan ahlinya menembusi pasaran domestik dan antarabangsa berbanding aspek pembangunan produk.
Ikuti temu bual antara wartawan Bisnes Metro, Helmy Abd Rahman dengan Presiden TeAM, Aziz Ismail, mengenai pelbagai usaha dan perancangan yang bakal dilaksanakan bagi memastikan industri berkaitan teknologi di negara ini terus membangun secara berterusan.


BOLEH saudara ceritakan secara ringkas latar belakang dan misi TeAM?
TeAM diwujudkan sekumpulan teknopreneur atau usahawan teknologi Malaysia bertujuan meluaskan capaian perniagaan bagi golongan usahawan berkaitan teknologi, sekali gus membantu perkembangan ekonomi digital di negara ini.

Keahlian TeAm terbuka kepada mana-mana individu dan syarikat yang berdaftar di Malaysia. Keahlian terbahagi kepada empat jenis iaitu ahli biasa, ahli bersekutu, ahli kehormat dan ahli pelajar.

Sejak ditubuhkan, pembabitan TeAM untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan industri ICT di Malaysia menunjukkan hasil memberangsangkan antaranya menerusi penganjuran bersama Program Pelaburan Cradle (CIP), pengenalan program usahawan, mengadakan klinik TeAM dan mengadakan pakatan kerjasama dengan pelbagai agensi.

Pada masa sama, TeAM memainkan peranan aktif dalam usaha membangunkan industri ICT bagi menyokong inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain utama sektor ICT dan bioteknologi di rantau ini.

Misi kami ialah berperanan sebagai pemikir dan suara bagi usahawan teknologi terutama membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia; untuk menyediakan landasan dan memudahkan pembangunan profesional di kalangan ahli dan industri secara amnya; mendidik komuniti dan menyatukan jurang digital serta membantu pembangunan berasaskan ekonomi digital di negara ini.

Untuk tahun ini, boleh saudara jelaskan bentuk bantuan dan program yang sudah diatur?

Bermula tahun ini, kami memberi fokus membantu mereka menembusi pasaran supaya apa yang mereka usahakan tidak terhenti di tengah jalan berbanding sebelum ini.
Kami membantu ramai usahawan teknologi dalam aspek pembangunan produk.

Antara program dijalankan ialah menganjurkan misi dagang mengembangkan capaian niaga ahli TeAM ke empat negara iaitu Indonesia, Thailand, Vietnam serta Bangladesh sepanjang tahun ini yang dijangka mampu menjana transaksi keseluruhan kira-kira RM1 bilion hasil jualan produk dan penawaran perkhidmatan.

Untuk setiap negara, kami menganggarkan mampu menjana antara RM200 juta dan RM300 juta. Kami membawa 35 syarikat ke setiap negara yang disebutkan dan bekerjasama dengan Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi tujuan itu.

Uniknya, dalam misi dagang yang bakal dilaksanakan ini, setiap peserta diperkenalkan dan dilatih pakar dari empat negara terbabit untuk memastikan kadar kejayaan lebih tinggi ketika mengembangkan perniagaan ke negara berkenaan.

Selain mendapat bantuan kerajaan dan persatuan dalam misi dagang ke luar negara, banyak daripada kalangan ahli kami yang mengambil inisiatif sendiri mengadakan pakatan bagi mengembangkan perniagaan.

Dengan menjadikan TeAM sebagai landasan, terdapat anggota bergabung membentuk konsortium dan meneroka pasaran luar negara.

Selain itu, TeAM memperkenalkan SME Connect, program yang membolehkan penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini mendapatkan perkhidmatan perkomputeran ‘cloud’ bernilai RM1,500 secara percuma.

Kami mengadakan pakatan strategik bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta bagi mempromosi dan memudahkan penggiat PKS menggunakan perkhidmatan ini.

Paling istimewa, SME Connect disediakan khusus untuk pengusaha PKS di seluruh Malaysia tanpa bayaran.

Mereka yang menyertai program ini boleh menggunakan perkhidmatan ‘cloud untuk enam bulan. Program ini disediakan sejak enam bulan lalu secara tidak rasmi dan dijangka dilancarkan bulan ini.

Bagaimana saudara melihat potensi pembangunan industri keusahawanan teknologi bagi tahun ini?

Secara dasarnya, untuk tahun ini kami menjangkakan industri keusahawanan teknologi akan lebih baik berbanding 2011. Keyakinan ini didorong pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif diperkenalkan kerajaan antaranya Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Menerusi inisiatif ini, tentunya membabitkan perbelanjaan kerajaan yang lebih besar berbanding tahun lalu terutama dalam industri.

Selain ICT, apa lagi sektor yang turut dibantu TeAM?

Kami turut mempunyai ahli di kalangan penggiat industri bioteknologi, bagaimanapun jumlahnya tidak seramai mereka yang berkecimpung dalam ICT.

No comments: