Monday, March 19, 2012

MFA galak usahawan muda ceburi francais

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MFAgalakusahawanmudaceburifrancais/Article/index_html

Published: on 19 March 2012

PERSATUAN Francais Malaysia (MFA) menggalakkan individu yang baru berjinak-jinak dalam sektor perniagaan untuk menceburi perniagaan berkonsepkan francais.
Presidennya, Abdul Malik Abdullah berkata, konsep perniagaan francais amat bersesuaian dengan usahawan baru yang tidak mempunyai pengalaman perniagaan kerana risiko perniagaannya rendah berbanding perniagaan konvensional.

“Apabila saya mengatakan risiko yang rendah, ia bermaksud konsep francais sudah mempunyai sistem, operasi secara manual dan panduan sedia ada yang dikeluarkan francaisor dan ini memudahkan mereka yang baru menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Abdul Malik berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) bersama-sama MFA kini berusaha memperkenalkan konsep francais kepada lepasan universiti yang mencari pekerjaan.

“Ini juga selaras dengan hasrat penaung MFA, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu golongan muda terutama Bumiputera berkecimpung dalam bidang perniagaan dan tidak hanya mengharapkan peluang pekerjaan dalam sektor awam,” katanya.

Abdul Malik berkata, setakat ini, MFA mempunyai kira-kira 600 anggota yang terdiri daripada francaisor, francaisi, perunding, peguam dan badan institusi sokongan yang membabitkan 528 jenama yang ada di Malaysia.

No comments: