Thursday, March 8, 2012

Idea baru francais

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ideabarufrancais/Article/index_html

Published: on 08 March 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

PERBADANAN Nasional Berhad (PNS), agensi pembiaya perniagaan francais di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meletakkan sasaran membangunkan 10 perniagaan baru untuk difrancaiskan terutama sektor perniagaan yang tidak berkaitan dengan industri makanan dan minuman.
Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman SZK Shahabudin berkata, untuk itu pihaknya mengunjurkan membiayai pinjaman perniagaan kepada 250 pengusaha francaisi baru dengan peruntukan antara RM40 juta dan RM50 juta tahun ini.

“Kami percaya setiap pekerjaan atau perniagaan boleh difrancaiskan dan kerana itu kami bercadang membangunkan perniagaan kecil. Kami sudah mengenal pasti beberapa perniagaan dalam bidang perkhidmatan yang boleh difrancaiskan antaranya bengkel baik pulih kenderaan, kedai gunting rambut dan perkhidmatan membaiki rumah.
“Kami memperuntukkan pembiayaan antara RM40 juta dan RM50 juta tahun ini, tetapi akan menambah jumlah peruntukan jika dirasakan perlu,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, mulai tahun ini, PNS menggunakan pendekatan berbeza bagi memaklumkan kepada orang ramai dan golongan usahawan supaya mereka mempunyai lebih kefahaman mengenai semua jenis perniagaan boleh difrancaiskan meskipun sebelum ini ia dianggap tidak sesuai.

“Oleh itu, untuk menyemarakkan industri francais, kami akan membuka ruang kepada dua golongan iaitu mereka yang mempunyai idea untuk difrancaiskan dan mereka yang mahu francaiskan perniagaan sendiri.

“PNS membuka peluang kepada semua usahawan untuk memfrancaiskan perniagaan masing-masing. Peluang ini terbuka kepada semua usahawan dan jangan menganggap bahawa ia eksklusif untuk industri makanan dan minuman saja. Malah, kami berbesar hati menerima usahawan daripada sektor lain yang mahu berkecimpung dalam perkhidmatan francais,” katanya.

No comments: