Published: on 28 March 2012

PESAWAT Eurofighter Typhoon keluaran BAE
Systems melintasi ruang udara Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 27 Mac - BAE Systems yang telah mewujudkan hubungan rapat dengan Malaysia dan ekoran rantaian kejayaan kerjasamanya di pasaran United Kingdom (UK), telah berminat untuk merapatkan jurang perindustrian antara kedua-dua negara.
Minggu lepas, syarikat pertahanan, keselamatan dan aeroangkasa, bersama-sama dengan Pertubuhan Perdagangan dan Pertahanan Pelaburan dan Keselamatan UK (UKTI DSO), menganjurkan program untuk mendedahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) UK kepada peluang-peluang di Malaysia.
Acara di London yang diadakan pada hari Jumaat telah disokong oleh badan-badan utama Malaysia termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SME Corporation, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Dalam kenyataan bersama hari ini, BAE Systems dan UKTI DSO berkata, peluang perniagaan dan acara perangkaian ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada semua syarikat yang menyertai.
"Tujuan acara ini ialah untuk PKS UK belajar mengenai peluang untuk meninjau dan membangunkan kerjasama bagi manfaat bersama dengan rakan kongsi Malaysia di seluruh industri termasuk aeroangkasa dan teknologi mewah," kata mereka.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan BAE Systems, Alan Garwood berkata, syarikat mempunyai sejarah panjang di Malaysia dan BAE Systems mengiktiraf potensi negara dan akan meneruskan strategi perindustriannya untuk menjalin hubungan kukuh dan mampan dengan industri pertahanan Malaysia. - Bernama
No comments:
Post a Comment