Monday, March 12, 2012

PNS labur RM80j projek hartanah komersial

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PNSlaburRM80jprojekhartanahkomersial/Article

Published: on 12 March 2012
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2012/03/12

Pelaburan awal bina premis bantu usahawan francais

PERBADANAN Nasional Bhd (PNS), akan meningkatkan secara lebih agresif pelaburannya dalam hartanah dalam tempoh lima tahun ini bagi menyediakan lebih banyak premis perniagaan kepada usahawan francais pada kadar yang kompetitif.
Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata, PNS akan memperuntukkan pelaburan awal berjumlah RM80 juta bagi melaksanakan projek pembangunan atau membeli hartanah komersial berdasarkan keperluan dan permintaan usahawan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, selain membantu usahawan francais terutama Bumiputera berniaga di lokasi strategik, ia juga antara strategi syarikat milik kerajaan itu untuk mengembangkan nilai aset hartanahnya yang kini berjumlah kira-kira RM800 juta.

Daripada jumlah nilai aset itu, RM240 juta bagi bangunan dan bakinya adalah tanah yang sebahagian besarnya terletak di Johor.

“Operasi teras PNS masih kepada usaha membangunkan industri francais di negara ini, tetapi kami juga perlu mencari alternatif untuk terus menyokong perkembangan kami dan antaranya adalah menerusi pelaburan hartanah.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya adalah berdasarkan kepada permintaan dan apa yang kami akan lakukan meneroka daripada hartanah yang kami ada sama ada menyewakannya atau membangunkannya bagi menjana pendapatan jangka panjang,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Syed Kamarulzaman, berkata ketika ini segmen hartanah menyumbang kira-kira 45 peratus kepada portfolio pelaburan PNS diikuti pelaburan saham dan mata wang (40 peratus), pinjaman untuk industri francais (10 peratus) dan pelaburan ekuiti (lima peratus).

Beliau berkata, walaupun PNS sentiasa meninjau peluang meningkatkan pelaburannya dalam sektor hartanah tetapi peratusan pelaburan sedia ada kepada portfolio akan dikekalkan buat masa ini.

Ketika ini hartanah dimiliki PNS terdiri daripada rumah kedai, kedai pejabat serta bangunan komersial dengan keluasan lantai 315,000 kaki persegi, antaranya di Klang Sentral, Kuantan, Seberang Perai, Seremban, Glomac di Kelana Jaya dan Bangsar South.


Beliau berkata, di Bangsar South contohnya, PNS menawarkan ruang pejabat mini berkonsepkan Service Office bagi membantu francaisor dan francaisi untuk mempunyai kemudahan pejabat korporat pada kadar sewaan yang lebih rendah dari pasaran.

“Kami mahu memberikan peluang kepada usahawan francais Bumiputera khususnya untuk mendapatkan lokasi perniagaan yang strategik dan membantu mereka dengan memberikan kadar sewaan yang kompetitif.

"Dengan ini, apabila operasi perniagaan mereka sudah semakin maju dan kukuh, usahawan berkenaan boleh membeli unit perniagaan itu daripada PNS," katanya sambil program berkenaan mula diperkenalkan tahun lalu tetapi akan dikembangkan secara agresif bermula tahun ini.

Syed Kamarulzaman juga berkata, PNS akan membangunkan projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta di Bandar Baru Bangi tahun ini.

Katanya, projek pembangunan yang akan dilaksanakan menerusi dua fasa itu dijangka siap sepenuhnya pada 2015 dan akan menawarkan ruang niaga seluas 300,000 kaki persegi kepada usahawan francais.

“Ini antara langkah PNS dalam menyediakan premis perniagaan kepada usahawan francais yang sekali gus meningkatkan pertumbuhan industri francais bagi jangka masa panjang,” katanya sambil menambah projek itu dijangka memberi pulangan sebanyak 20 peratus kepada PNS dalam beberapa tahun selepas ia beroperasi.

No comments: