Monday, March 5, 2012

Produk roselle AFC Food laris

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProdukroselleAFCFoodlaris/Article/index_html

Published: on 05 March 2012
Oleh Ikhwan Muhammad
am@hmetro.com.my

AFC Food (M) Sdn Bhd, pengeluar produk minuman dan makanan berasaskan roselle kini mampu menghasilkan sehingga 2,000 botol jus minuman dan 3,000 kilogram roselle segar sebulan dengan keuntungan bersih sekitar RM10,000.
Permintaan tinggi diakui sendiri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kerana roselle dari Mersing mempunyai kualiti terbaik di dunia dari segi khasiat dan vitamin menyebabkannya turut dibeli Fama untuk dipasarkan ke Australia.

Pemiliknya, suri rumah, Fakhriah Ishak, 46, bermula dengan hanya membantu beberapa kampung sekitar Endau yang mengusahakan tanaman roselle secara kecil-kecilan dan membeli tanaman mereka sejak 10 tahun lalu, kini menjadi ikon pengeluar jus, kordial dan halwa berasaskan tanaman berkenaan.
“Keinginan untuk meningkatkan taraf hidup dan membantu penduduk kampung menyebabkan saya mendapatkan bimbingan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) sebelum menceburi perniagaan roselle secara kecil-kecilan di rumah di Endau selama beberapa tahun,” katanya.

Sebaik melihat pulangan lumayan, dia nekad membuka syarikat, AFC Food berpejabat di Jalan Jemaluang pada 2004. “Hasil diperoleh, saya mula menanam sendiri roselle di ladang seluas 0.5 hektar berhampiran kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor,” katanya yang turut dibantu dua anak lelaki berusia 19 dan 20 tahun. Menurutnya, kegigihan itu menyaksikan produk jenama Eliya Roselle memenangi tempat ketiga pertandingan minuman usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Melaka pada 2006.

“Saya bangga apabila Fama menjadikan syarikat dan produk kami sebahagian daripada imej Mersing kerana tidak ramai usahawan sanggup menjalankan perniagaan ini secara serius berikutan komitmen tinggi diperlukan,” katanya.

Menurutnya, berbekalkan pengalamannya, dia kini bercadang menembusi pasaran seluruh negara dengan memasarkan Eliya Roselle ke pasar raya besar di negara ini.

Orang ramai boleh mendapatkan Eliya Roselle di pejabat AFC Food di No 1 & 2, Kilometer 2, Jalan Jemaluang, Mersing.

No comments: