Wednesday, March 28, 2012

20 syarikat Malaysia Brand

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: on 28 March 2012
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN



Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid (dua dari kiri) 
bersama pengurusan kanan SME Corp. pada sidang 
media sempena sesi rangkaian penerima Malaysia 
Brand di Cruise Tasik, Putrajaya, semalam. 
- UTUSAN/HANAFI KHAMIS 


PUTRAJAYA 27 Mac - Sebanyak 20 lagi syarikat tempatan dijangka menerima pensijilan National Mark of Malaysia Brand (Malaysia Brand) hujung tahun ini, kata Pengerusi SME Corporation Malaysia Bhd. (SME Corp), Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Beliau berkata, jumlah permohonan yang telah diterima selama ini ialah 85 syarikat tempatan dan 39 daripadanya telah diluluskan SME Corp. sementara dua lagi akan menyusul tidak lama lagi.

"Kami masih lagi mengaudit permohonan yang lain, dan menggesa lebih banyak syarikat tempatan mendapatkan hak logo itu bagi mendapatkan pelbagai manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sesi suai kenal perniagaan bersama penerima pengiktirafan logo Jenama Malaysia di Cruise Tasik Putrajaya di sini, hari ini.

SME Corp. telah memperkenalkan pensijilan Malaysia Brand pada 2 Mac 2009 sempena penganjuran Persidangan Jenama Usahawan (BEC) 2009.

Program itu dirangka untuk menghapuskan persepsi masyarakat bahawa produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkualiti rendah, tidak boleh dipercayai dan piawaian pembungkusan tidak setanding dengan jenama-jenama besar.

Mohamed Al Amin berkata, semua syarikat yang sudah menerima penarafan itu bakal menerima pelbagai faedah termasuklah peluang menikmati subsidi sebanyak 50 peratus atau RM3,000 daripada SME Corp. bagi menampung kos proses penarafan.

Beliau berkata, bantuan kewangan sehingga RM100,000 akan diberi untuk membiayai kos pemasaran, pengiklanan, pembungkusan produk dan promosi dalam tempoh dua tahun selepas syarikat terbabit diiktiraf.
"Langkah ini selari dengan matlamat kerajaan yang menyasarkan lebih 150 PKS memperoleh penarafan Malaysia Brand menjelang 2015 dalam usaha melahirkan lebih banyak jenama tempatan yang mampu menembusi pasaran global," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SME Corp. turut memperkenalkan Persijilan Inovasi bagi Penarafan Enterpris dan Program Transformasi (1-InnoCERT) untuk membantu mengenal pasti dan memperakukan penglibatan PKS tempatan.

"1-InnoCERT akan menilai keupayaan organisasi dalam inovasi, penghasilan, mengkomersialkan produk, keupayaan pengurusan merancang dan bertindak balas kepada perubahan dan inovasi," ujar beliau.

No comments: