Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/perkeso-majikan-iks-gagal-daftar-pekerja-1.48233
Published: on 16 May 2012
KUALA TERENGGANU - Kira-kira 15 peratus majikan didapati masih gagal
mendaftar pekerja mereka dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
sepanjang tiga tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata
berdasarkan siasatan Perkeso, daripada lebih 20,000 majikan yang
dilawati setiap tahun, didapati sebanyak 285 majikan gagal mendaftar
pekerja mereka pada tahun lalu iaitu meningkat berbanding tahun 2010
(251 majikan) dan tahun 2009 (174 majikan).
"Kebanyakan majikan yang gagal berbuat demikian terdiri daripada
industri kecil dan sederhana (IKS) namun ada juga di antara majikan yang
gagal berbuat demikian dalam industri berisiko tinggi seperti sektor
minyak dan gas," katanya.
Beliau berkata dalam industri besar, majikan utama tidak mempunyai
banyak masalah namun masalah biasa dilakukan oleh subkontraktor yang
dilantik.
"Biasanya dalam industri besar tidak banyak isu tetapi kita akan
melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan majikan menjaga
kebajikan pekerja mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Mohd Zamri
Fithri Mat Noor, 25, di Hospital Sultanah Nur Zahairah di sini hari ini.
Mohd Zamri Fithri merupakan mangsa letupan gas yang koma ketika
kejadian di Loji Pemprosesan Gas Petronas di Kerteh, Kemaman Khamis
lalu.
Seorang pekerja kontrak, Rosli Mansor, 31, meninggal dunia sementara
sembilan lain yang menjalankan kerja menyenggara di loji berkenaan
cedera dan dirawat di Hospital Kemaman dan Hospital Dungun.
Dalam pada itu, menurut Subramaniam, setiap tahun Perkeso melakukan
proses berterusan memantau majikan-majikan yang gagal mendaftar
kakitangan mereka untuk memastikan nasib pekerja diindungi sekiranya
berlakunya kemalangan.
Katanya majikan yang didapati melakukan kesalahan akan dikompaun ataupun didakwa. - Bernama
No comments:
Post a Comment