Thursday, May 31, 2012

CGC sasar jamin pinjaman RM3 bilion

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CGCsasarjaminpinjamanRM3bilion/Article/index_html

Published: on 31 May 2012

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) meletakkan sasaran memberi jaminan pinjaman bernilai RM3 bilion bagi tahun kewangan semasa, sama seperti tahun sebelum ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, bagaimanapun berkata, pihaknya tetap berpuas hati sekiranya hanya mencapai antara RM2.5 bilion dan RM2.8 bilion.

“Secara tradisinya, kami sentiasa meletakkan sasaran jaminan pinjaman bernilai RM3 bilion. Bagaimanapun, tahun ini saya lihat lebih banyak peminjam yang menyertai skim kami tidak lagi terdesak memerlukan jaminan kami.

“Sama ada perniagaan mereka laris atau ekonomi bertambah baik, mereka tidak lagi memerlukan jaminan CGC dan boleh meminjam di luar skim. Maka, sungguhpun angka sasaran rasmi kekal RM3 bilion, kami akan berpuas hati jika hanya mencapai RM2.5 bilion hingga RM2.8 bilion. Apa yang penting, pinjaman tidak berbayar menurun 23 peratus,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan CGC di Petaling Jaya, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, CGC optimis 2012 adalah tahun sesuai untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif strategiknya meningkatkan capaian perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) sekali gus meneruskan agenda kemampanan kewangan.

No comments: